Oleh: Tuan Ibrahim Tuan Man,
Assalamu’alaikum,
Bila
ada persoalan tentang umur 40 tahun manusia, saya terfikir sejenak.
Belum pernah saya membincangkannya dengan sesiapa sebelum ini. Bila saya
cuba mengajak kepada perbincangan, ramai yang berkata itu cuma
psikologi barat untuk menggambar kehidupan mesti enjoy dan berseronok,
dan pada umur ini barulah fikir tentang masa depan.
Ramai tidak
sedar dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang
sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini.
Allah swt. berfirman,
حَتَّى إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ
أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ
الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا
تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى
مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ
"Apabila dia telah dewasa dan usianya
sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan
untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan
kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang
engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan)
kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan
sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)
Usia
40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia
mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi,
mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan
melangkah ke usia dewasa yang sebenar.
Doa yang terdapat dalam
ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun
dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa
mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal
yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan
untuk bertaubat dan kembali kepada Allah.
Pada ayat yang lain, firman Allah;
أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيْهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيْرُ
Apakah
Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir
bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu
pemberi peringatan? (al-Fathir: 37)
Menurut Ibnu Abbas, Hasan
al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud
dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat
tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.
Menurut Ibn
Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang
usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah
dengan bersungguh2.
Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya) Kematangan.
Usia
40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup.
Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang
kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan
hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin
muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang
disebut oleh Ibn ‘Abbas:
“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).
Nabi
Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga
dengan nabi2 yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.
Mengapa umur 40 tahun begitu penting.
Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu
1. Kanak-kanak (sejak lahir hingga akil baligh)
2. Muda atau syabab (sejak akil baligh hingga 40 tahun)
3. Dewasa (40 tahun hingga 60 tahun)
4. Tua atau syaikhukhah (60 tahun hingga mati)
Usia
40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa
mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling
menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang
terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama.
Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat
dan mendekati kuliah-kuliah agama.
Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah saw.,
لعَبْدُ
الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً خَفَّفَ اللهُ تَعَالَى
حِسَابَهُ ، وَإِذَا بَلَغَ سِتِّيْنَ سَنَةً رَزَقَهُ اللهُ تَعَالَى
الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ ، وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِيْنَ سَنَةً أَحَبَّهُ
أَهْلُ السَّمَاءِ ، وَإِذَا بَلَغَ ثَمَانِيْنَ سَنَةً ثَبَّتَ اللهُ
تَعَالَى حَسَنَاتِهِ وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ ، وَإِذَا بَلَغَ تِسْعِيْنَ
سَنَةً غَفَرَ اللهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ
وَشَفَّعَهُ اللهُ تَعَالَى فِى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَكَتَبَ فِى السَّمَاءِ
أَسِيْرَ اللهِ فِى أَرْضِهِ – رواه الإمام أحمد
"Seorang hamba
muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya
(perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan
memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila
usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan
mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal
kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai
90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan
dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada
anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah
di bumi. (riwayat Ahmad)
Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling
awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus
konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya.
Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa
hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati2
juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk
senja. Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa
mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dpt
mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke
neraka.”
Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau
berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku
ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang
ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung
itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat
dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki
sisa2 syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan
sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga
tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk
dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Diantara aku dan
dia ada Allah.”
Lantas, apa yang harus kita lakukan ketika menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.
Jika
ada yang mengatakan bahawa: Life began at fourty, saya cenderung
berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada
mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu
perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita
bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika
kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan
kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita
jika umur kita tidak panjang.
Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W ," Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati"
Sumber: http://tranungkite.net/v12/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan