Ahad, 29 Januari 2012

MENGHARAPKAN PERUBAHAN MELALUI PILIHAN RAYA?

Setelah dunia menyaksikan kejatuhan pemimpin diktator Mesir, Hosni Mubarak, kini seluruh dunia mengharapkan satu perubahan yang dinanti-nanti selama ini yang akan merubah landskap politik Mesir melalui sebuah pilihan raya umum yang disifatkan sebagai lebih demokratik. Perkembangan terbaru menyaksikan parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di bawah Ikhwanul Muslimin memenangi 47 peratus daripada kerusi Parlimen baru Mesir. Akhbar melaporkan bahawa Perikatan Demokratik yang diketuai oleh FJP memenangi 235 daripada 498 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya tiga peringkat itu. Ikhwanul Muslimin mencalonkan pegawai kanan dalam partinya, Mohammad Saad al-Katatni untuk menjadi Speaker Parlimen baru. Menduduki tempat kedua ialah parti Al-Nour yang mendapat 25 peratus undi dengan 125 kerusi. Parti-parti yang disifatkan liberal, Al-Wafd dan Blok Mesir ketinggalan dengan masing-masing hanya meraih 14 peratus undi, iaitu kira-kira 69 kerusi.

Sebanyak 21 parti politik gagal memperoleh sekurang-kurangnya 0.5 peratus undi yang diperlukan bagi menghantar wakil ke Parlimen. Para penyokong setia bekas Presiden Hosni Mubarak hanya memenangi tiga peratus daripada kerusi Parlimen. Pilihan raya dewan rendah Parlimen yang telah bermula pada 28 November lalu dan berlangsung selama hampir dua bulan adalah yang pertama di Mesir sejak Mubarak digulingkan dalam pemberontakan rakyat tahun lepas. Pemerintah tentera Mesir, Hussein Tantawi, telah melantik 10 anggota baru ke Parlimen untuk menjadikan jumlah anggotanya 508 orang yang akan memikul tanggungjawab utama memilih sebuah jawatankuasa bagi merangka Perlembagaan baru Mesir. Pilihan raya untuk dewan tertinggi Parlimen atau Majlis Shura dijadual akan diadakan dalam dua peringkat, dengan pengundian berlangsung antara 29 Januari hingga 22 Februari.

Sebenarnya revolusi yang telah berjaya dilakukan oleh umat Islam di negeri para anbiya’ itu menyampaikan satu mesej yang jelas kepada seluruh dunia bahawa perubahan yang dimahukan kaum Muslimin bukanlah sekadar perubahan “kepimpinan” (orang yang memimpin) semata-mata, tetapi perubahan “sistem” daripada sistem kufur yang penuh kekejaman dan penindasan kepada sistem Islam yang penuh keadilan dan keberkatan. Namun sayangnya, setelah Mubarak berjaya ditumbangkan, Barat dalam masa yang sama berjaya ‘merampas’ revolusi dan mengubah haluannya menurut kehendaknya.

Hal ini dilakukan Barat dengan agak mudah kerana kuku Barat masih menancap tajam pada kepimpinan tentera Mesir, yang rata-ratanya adalah orang kuat Mubarak. Dengan berlangsungnya pilihan raya umum Mesir yang pertama setelah tumbangnya Presiden Mubarak, sebahagian rakyat Mesir nampaknya telah berjaya digula-gulakan oleh Barat dengan sebuah pilihan raya atas nama sistem demokrasi. Walaupun tidak semua rakyat Mesir mahukan sistem demokrasi, namun Barat dengan taktik jahatnya berusaha mengabui mata umat Islam dan cuba meyakinkan dunia bahawa rakyat Mesir mahukan sistem demokrasi.

Bukan hanya sekadar memerhatikan proses pilihan raya dari dekat, Barat yang licik itu tidak pernah lekang dalam memerhatikan siapakah “calon” yang bakal memimpin Mesir pasca kepimpinan tentera yang ada sekarang. Barat mempropaganda perubahan Mesir dari pemerintahan diktator kepada pemerintahan demokrasi sekaligus berusaha menaikkan calon yang dilihat oleh umat Islam, lebih demokratik bagi membezakannya dengan Mubarak yang disifatkan sebagai diktator. Hasil penelitian Barat, Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah gerakan yang berpotensi untuk memerintah Mesir ke arah yang lebih demokratik. Maka Barat berusaha menjalin hubungan dengan pimpinan gerakan Islam tersebut dalam rangka memastikan Ikhwanul Muslimin dapat memerintah Mesir dan pada masa yang sama akan terus menjaga hubungan baik dengan Barat. Hasilnya sungguh lumayan bagi Barat apabila FJP setakat ini telah memenangi pilihan raya umum Mesir. Namun begitu, adalah suatu yang sungguh menyayat hati melihat hubungan baik antara FJP dan Amerika kerana sesungguhnya revolusi Mesir yang telah mengorbankan ramai para syuhada dan melibatkan ribuan kaum Muslimin yang berulangkali berkumpul di Medan Tahrir, mereka telah menyatakan ‘tidak’pada Amerika!

Pembohongan Amerika dalam sokongan mereka ke atas sistem demokrasi dan pemimpin yang demokratik adalah amat jelas sekali. Orang buta sekalipun tahu betapa baiknya hubungan di antara Amerika dengan Mubarak, walaupun Mubarak terkenal sebagai seorang pemimpin yang diktator dan zalim. Seluruh dunia juga tahu betapa rapatnya hubungan Amerika dengan Arab Saudi, Jordan, Syria, Yemen dan lain-lain negara Arab walaupun kesemua pemimpin negara tersebut adalah para diktator dan tidak demokratik. Sesungguhnya sokongan Amerika terhadap para pemimpin tersebut bukanlah atas nama demokrasi, tetapi kerana para pemimpin tersebut adalah boneka AS dan boleh memberi kepentingan kepada mereka. Begitu jugalah sokongan yang ditunjukkan oleh negara Uncle Sam itu kepada FJP, bukanlah sebenarnya atas dasar demokrasi sebagaimana yang diwar-warkan, tetapi atas dasar kepentingan yang bakal diraih oleh Amerika dari hubungan tersebut, sama sebagaimana kepentingan yang telah diraih Amerika hasil hubungannya dengan Mubarak sewaktu kekuasaan Mubarak dahulu.

AS cuba mewujudkan ‘suasana demokrasi’ di Mesir bagi menggantikan sistem diktator yang dibenci oleh umat Islam yang dibawa oleh Mubarak selama ini. Walhal bagi AS, tidak ada bezanya di antara pemimpin yang demokratik dan diktator kerana yang penting bagi mereka adalah bahawa pemimpin tersebut (baik demokratik atau diktator) adalah orang yang setia dengan AS. Oleh yang demikian, setelah sekian lama (pasca tumbangnya Mubarak) AS mencipta hubungan baik dengan bakal pemerintah Mesir, maka sudah masanya rakyat Mesir dihidangkan dengan sebuah pesta demokrasi (pilihan raya) yang selama ini tidak dapat ‘dinikmati’ di bawah pemerintahan Mubarak. Pesta ini tidak lain hanyalah sebagai pemula kepada agenda AS dalam membentuk Mesir baru yang ‘demokratik’ di bawah telunjuknya. Setakat ini, pesta demokrasi ini berjalan lancar dengan cara yang cukup disenangi oleh Barat.

Sebagaimana sifat sebuah ‘pesta’, pilihan raya hanyalah luahan aksi kegembiraan yang bersifat sementara. Kegembiraan itu ditandai antara lain dengan banyaknya parti dan ribuan calon yang bertanding, jutaan pelekat, sepanduk dan kain rentang, ramainya wartawan dan pihak media yang membuat liputan, hingar-bingar kempen politik yang berlangsung di sana-sini dengan pelbagai janji dan manifesto masing-masing, beraneka ragam hiburan dan acara bagi menarik orang ramai dan tidak ketinggalan diserikan lagi dengan pelbagai bentuk rasuah, penipuan, hasutan, fitnah-memfitnah, pergaduhan  dan sebagainya yang kesemuanya menghabiskan jutaan wang demi merebut sebuah kerusi.

Namun, atas sifat sebuah pesta juga, maka setelah selesai segala aktiviti kegembiraan tersebut, keadaan akan kembali seperti asal, tidak ada apa-apapun yang berubah. Begitulah dengan pesta pilihan raya ini, tidak ada apa-apapunyang akan berubah setelah pilihan raya,  kecuali calon-calon pemenangnya. Oleh yang demikian, sesiapa sahaja yang terlanjur mempercayaibahawapilihan raya dalam sistem demokrasi boleh menghasilkan perubahan, maka dia hendaklah kembali berfikir dengan jernih akan kebenaran fakta ini. Ini kerana, pilihan raya di dalam sistem demokrasi hanyalah untuk memilih atau menukar orang sahaja, seraya berharap orang yang terpilih itu lebih baik daripada orang yang sebelumnya. Pilihan raya sama sekali tidak akan membawa kepada perubahan sistem, kerana memang ia tidak diwujudkan untuk tujuan tersebut. Dengan kata lain, pilihan raya menafikan perubahan sistem, malah dengan adanya (dilaksanakan) pilihan raya itu sendiri, ia bermaksud sistem yang sedia ada dikekalkan. Berjalannya pilihan raya membawa maksud penduduk negara itu masih tunduk pada sistem yang ada. Telah terlalu kerap kita melihat bagaimana negara-negara di dunia, setelah selesai pilihan raya, sistem yang sama masih lagi berjalan walaupun orang (pemenang)nya berubah. Sistem yang bobrok terus kekal dengan kebobrokannya, malah tidak sedikit dari calon yang baru menang, yang kononnya mahu melakukan perubahan, justeru terus tenggelam di dalam kerosakan sistem yang sedia ada.

Walau jelas di depan mata bahawa pilihan raya tidak pernah dapat merubah sesebuah sistem, namun masih tetap ada segelintir umat Islam yang berusaha untuk memenangkan (menegakkan) Islam melalui pilihan raya. Jika mereka merujuk kepada sejarah sekalipun, mereka akan mendapati bahawa setakat ini belum pernah terjadi penegakan Islam melalui pilihan raya sebagaimana yang mereka dambakan. Dari segi sejarah, Indonesia sebagai contoh,sebagai negara yang mempunyai penduduk Muslim yang terbesar, Masyumi dan Nahdhatul Ulama yang masing-masing memenangi 112 dan 91 kerusi pada pilihan rayatahun 1955, masih tetap tidak dapat memerintah dengan Islam. Masyumi kemudiannya dibubarkan oleh Soekarno pada tahun 1960.

Sejarah yang sama kita saksikan, malah lebih tragis, ke atas FIS di Aljazair. FIS yang menang pada pilihan raya pusingan pertama 1991 dan menguasai 81% kerusi Parlimen, lalu menang besar pada pilihan raya pusingan kedua pada tahun yang sama, akhirnya dibubarkan oleh junta tentera yang disokong oleh Perancis. Hal yang sama juga terjadi pada Hamas di Palestin, yang menjadi pemenang pilihan raya secara demokratis, namun hingga kini Hamas terus terjebak di dalam sistem yang sedia ada dan tidak dapat keluar darinya dan Islam tetap tidak dapat ditegakkan. Begitulah juga keadaannya di Malaysia di mana parti Islam yang bertanding tidak pernah menang di dalam pilihan raya umum kecuali di beberapa negeri, dan apa yang jelas adalah, sistem Islam masih tidak dapat ditegakkan hingga kini. Malah lebih buruk, parti Islam tersebut terus terjebak di dalam pemerintahan sekular, bahkan memerintah bersama dengan orang-orang kafir, suatu hal yang dilarang (haram) secara nyata di dalam Islam. Ringkasnya, di mana sahaja negara umat Islam yang mengamalkan pilihan raya demokrasi, umat Islam tidak pernah dapat menegakkan Islam. Ini kerana di dalam sistem demokrasi, manusialah yang membuat undang-undang dengan mengambil hak Allah sebagai Pembuat undang-undang.

Justeru itu, mengharapkan terjadinya perubahan, apalagi kemenangan Islam, melalui pilihan raya di bawah sistem demokrasi adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku, malah hakikatnya, boleh membawa umat semakin jauh dari Islam. Sungguh rugilah umat Islam yang terus-menerus berharap pada sesuatu yang tidak dapat mereka capai walhal ada jalan lain yang benar yang seharusnya mereka tempuhi. Potensi atau usaha mereka seharusnya dikerahkan untuk mengikuti jalan tersebut, yang berdasarkan wahyu dan bukannya jalan demokrasi Barat. Hanya jalan ini sahajalah -yakni jalan wahyu yang pernah ditempuh oleh Rasulullah SAW- yang akan pasti memberikan kejayaan dalam melakukan perubahan. Bangsa Arab yang Jahiliyyah ternyata berjaya diubah oleh Rasulullah SAW menjadi bangsa yang memimpin dunia atas nama Islam, dengan jalan berdasarkan wahyu ini. Islam terus memimpin dunia dengan sebuah peradaban yang agung sehinggalah pemerintahan Islam (Khilafah) berjaya dihancurkan oleh Barat melalui pengkhianatan Mustafa Kamal Attartuk laknatullah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924).

Setelah hancurnya pemerintahan Khilafah dari pentas dunia, umat Islam dibius oleh Barat dengan sistem demokrasi sehingga umat Islam terus lemah, berpecah dan tidak lagi nampak jalan yang lurus (jalan wahyu) untuk mengembalikan kekuatan dan kemuliaan mereka. Umat Islam terus-menerus disodorkan oleh Barat bahawa tidak ada jalan lain untuk melakukan pertukaran pemimpin kecuali melalui jalan pilihan raya demokratik. Sehinggalah saat terjadinya revolusi di Tunisia, Mesir dan Libya di mana umat Islam berjaya menggulingkan pemerintah masing-masing tanpa pilihan raya, Barat tetap terus berusaha bersungguh-sungguh untuk ‘merampas’ revolusi dan setelah berjaya merampasnya, Barat lalu tanpa berlengah terus melaungkan perubahan melalui jalan pilihan raya.

Inilah yang berlaku di Mesir sekarang di mana umat Islam terus‘diperbodohkan’ oleh Barat dengan pilihan raya, walhal hakikatnya umat Islam sebelum itu telah berjaya melakukan perubahan dengan menumbangkan pemerintahan diktator dengan sebuah revolusi (bukan melalui pilihan raya). Dengan kata lain, Barat sekali lagi berjaya menyodorkan “pilihan raya” sebagai jalan perubahan untuk umat Islam. Walhal hakikatnya pilihan raya tidak pernah dan tidak akan pernah membawa apa-apa perubahan, kecuali ‘perubahan’ yang diingini oleh Barat sahaja. Maka sungguh malang apabila kita melihat segelintir umat Islam terperangkap di dalam agenda Barat ini. Menggantungkan harapan terjadinya perubahan hakiki melalui pilihan raya di bawah sistem demokrasi hanyalah akan mendatangkan kekecewaan demi kekecewaan bagi umat Islam. Fakta yang terjadi di negeri-negeri kaum Muslimin selama ini sudah membuktikan hal itu. Kerana itu, tidak layak bagi satu umat yang mulia untuk menaruh harapan kepada sebuah sistem yang hina seperti demokrasi.

Satu-satunya jalan untuk mencapai perubahan yang hakiki di dalam usaha untuk menegakkan Islam secara kaffah (menyeluruh) hanya boleh dilakukan melalui thariqah (method) dakwah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT,

Sesungguhnya (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kalian mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan lain itu mencerai-beraikan kalian dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepada kalian agar kalian bertakwa” [TMQ al-An’am (6):153].

Rasulullah SAW tidak pernah menunjukkan bahawa jalan menuju perubahan adalah melalui pilihan raya atau menyertai sistem Jahiliyyah. Rasulullah SAW malah berusaha untuk menghapuskan sistem Jahiliyyah, bukannya bergabung di dalamnya. Bermula dari perubahan pemikiran (dari pemikiran kufur kepada pemikian Islam), seterusnya membentuk sebuah kutlah (kelompok) dakwah, lalu melakukan kifahu siyasi (perjuangan politik) dan dikuti dengan thalabun nusrah (mencari pertolongan) untuk mendapatkan kekuasaan dari ahlul quwwah (golongan yang memiliki kekuatan) khususnya kekuatan perang, Rasulullah SAW kemudian berhijrah ke Madinah dan berjaya mewujudkan sebuah Negara Islam. Dari sanalah bermulanya penerapan Islam secara kaffah, lalu tersebar pula ke seluruh alam dengan jalan dakwah dan jihad, menjadikan kaum Muslimin umat yang mulia dan terbaik. Inilah jalan perubahan yang dituntut oleh Islam yakni jalan lurus yang berdasarkan wahyu, bukannya jalan yang didasarkan kepada akal, apatah lagi jalan yang diajar oleh penjajah seperti jalan demokrasi.

Khatimah

Sesungguhnya perubahan hakiki yang diperlukan oleh umat Islam adalah perubahan sistem, bukannya perubahan orang/pemimpin. Dunia Islam khususnya dan seluruh dunia amnya, amat memerlukan sebuah sistem alternatifyang dapat menyelamatkan umat manusia dari kesengsaraan. Tidak ada sistem yang dapat memenuhi tuntutan tersebut kecuali sistem yang datangnya dari wahyu. Sistem ini tidak lain adalah sistem Khilafah dan bukannya sistem demokrasi, autokrasi, teokrasi, monarki dan sebagainya.Inilah jalan baru yang diperlukan oleh umat Islam, termasuk di Malaysia waktu ini. Jalan inilah yang akan dapat mengubah wajah dunia yang didominasi oleh kezaliman dan kekacauan menjadi wajah dunia yang penuh keadilan dan kesejahteraan. Jalan inilah yang telah dirintis oleh Hizbut Tahrir sejak tahun 1953, yang bermula di Al-Quds, Palestin sehingga telah melebar ke seluruh benua, dari bahagian timur hingga ke barat dunia. Umat Islam kini mulai sedar bahawa mereka memerlukan sistem Khilafah dan bukannya sistem demokrasi. Yang menjadi masalah adalah wujudnya segelintir pemimpin umat hari ini yang masih bersahabat dan sentiasa melutut kepada kuffar Barat dan menjadi pengkhianat Islam, yang oleh kerana itu, Barat masih berjaya mencengkam umat Islam dengan sistem demokrasi kufurnya. Namun, barisan pemimpin pengkhianat ini mula tersungkur satu demi satu dan kemenangan Islam dengan sistem Khilafah itu sebenarnya sudah semakin hampir hari demi hari. Sesungguhnya apabila tibanya hari kemenangan, “Pada saat itulah, hati seluruh kaum Mukmin akan bergembira kerana pertolongan Allah” [TMQ ar-Rum (30):4-5].

Dipetik dari:  http://www.mykhilafah.com

Rabu, 25 Januari 2012

Hukum Sambutan Tahun Baru Cina

Terdapat sebahagian daripada masyarakat Muslim yang mengatakan bahawa menyambut Tahun Baru Cina itu hanyalah suatu adat tradisi semata-mata dan ia tidak termasuk sebahagian daripada mana-mana ajaran agama tertentu. Dengan hujah tersebut, umat Islam khususnya yang beretnik Tionghua dianggap boleh untuk meraikan Tahun Baru Cina. Persoalannya, benarkah Tahun Baru Cina hanya merupakan adat tradisi semata-mat dan adakah umat Islam dibolehkan untuk meraikannya? Penulisan ini bertujuan  untuk merungkai persoalan ini agar kita mendapat gambaran yang jelas tentang latar belakang sambutan Tahun Baru Cina serta pandangan hukum syarak ke atas perkara tersebut.

Ajaran Agama Konfusianisme, Bukan Sekadar Adat Tradisi Tionghua

Kita sering mendengar daripada kalangan kaum Tionghua termasuk tokoh-tokoh yang telah memeluk Islam bahawa sambutan Tahun Baru Cina ini adalah sekadar adat tradisi semata-mata dan ia tidak  mempunyai kaitan dengan ajaran sesuatu agama.
Oleh itu, umat Islam dianggap boleh untuk turut serta dalam merayakannya. Jika kita benar-benar mendalami ajaran agama Konfusianisme, khususnya tentang sambutan perayaan-perayaan mereka, maka akan terbukti bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar. Ini adalah kerana sambutan Tahun Baru Cina adalah merupakan sebahagian daripada ajaran agama Konfusianisme yang tidak dapat dipisahkan dan ia bukannya adat tradisi semata-mata.

Dalam sebuah buku karangan penganut Konfusianisme, Dr. Hendrik Agus Winarso yang berjudul 'Mengenal Hari Raya Konfusian' (Semarang : Effhar & Dahara Prize, 2003) hal. vi-vii, ia menyatakan bahawa kebanyakan masyarakat kurang memahami Hari Raya Konfusianisme. Beliau memberi contoh, “Misalnya Tahun Baru Cina yang dianggap sebagai tradisi orang Tionghua.” Oleh yang demikian, pandangan yang mengatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah sekadar adat tradisi dan tidak ada hubung kait dengan agama adalah suatu kesalahfahaman, menurut penulis berkenaan (Ibid., hal. v).

Dalam buku tersebut, Dr. Hendrik telah membuktikan dengan meyakinkan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah sebahagian daripada ajaran Konfusianisme. Dr. Hendrik menerangkan, Tahun Baru Cina atau dikenali juga sebagai Sin Cia, merupakan suatu momentum untuk memperbaharui diri. Momentum ini dinyatakan dalam salah sebuah kitab suci Konfusianisme iaitu kitab Lee Ki, bahagian Gwat Ling, yang berbunyi :

“Hari permulaan tahun (Liep Chun) jadikanlah sebagai Hari Agung untuk bersembahyang besar ke hadrat Thian, kerana Maha Besar Kebajikan Thian. Dilihat tiada nampak, didengar tiada dengar, namun tiap yang wujud tiada yang tanpa Dia… (Tiong Yong XV : 1-5).
(Lihat Hendrik Agus Winarso, Mengenal Hari Raya Konfusian, [Semarang : Effhar & Dahara Prize, 2003], hal. 60-61).

Penulis tersebut telah membuat membuat kesimpulan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah merupakan sebahagian daripada ajaran Konfusianisme. Beliau mengatakan bahawa:

“Dengan demikian, menyambut Tahun Baru bagi umat Konfusianisme Indonesia mempunyai erti ketakwaan dan keimanan.” (ibid., hal. 61).

Maka oleh itu adalah tidak benar pendapat-pendapat yang menyatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah hanya sekadar adat tradisi orang Tionghua semata-mata dan ia bukan perayaan agama. Sedangkan hakikatnya, ia adalah sebahagian daripada ajaran agama Konfusianisme.

Selain itu, sebagai seorang Muslim, kayu ukur untuk melihat sama ada boleh atau pun tidak untuk melakukan sesuatu perkara bukanlah dilihat dari segi agama atau tradisi. Sebahagian umat beranggapan, jika ia berasal daripada adat tradisi, adalah tidak mengapa dan boleh untuk diamalkan. Tetapi jika ia berasal daripada agama lain, maka ia tidak boleh. Sesungguhnya kayu ukur sebegini adalah batil dan tidak boleh diguna pakai dalam Islam. Dalam Islam, satu-satunya kayu ukur yang benar adalah Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata. Firman Allah SWT:

 “Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain daripadaNya.[TMQ Al-A’raaf (7) : 3]

Kalimat “maa unzila ilaikum min rabbikum” (apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu), adalah merujuk kepada Al-Qur`an dan As-Sunnah. (Tafsir Al-Baidhawi, [Beirut : Dar Shaadir], Juz III/2). Maka, kayu ukur sesuatu perbuatan sama ada boleh ataupun tidak boleh untuk dilakukan adalah Al-Qur`an dan As-Sunnah. Apa sahaja yang benar menurut Al-Quran dan As-Sunnah, bererti ia boleh dilakukan. Sebaliknya, apa sahaja yang batil menurut Al-Quran dan As-Sunnah, bererti ia tidak boleh untuk dilakukan.

Oleh yang demikian, jika kita hendak menilai perbuatan kaum Muslimin yang turut serta dalam merayakan Tahun Baru Cina menurut Islam, maka tolok ukurnya haruslah benar. Kita perlu melihat adakah perbuatan tersebut boleh atau pun tidak menurut Al-Quran dan As-Sunnah, dan bukannya melihat sama ada aadakah ia daripada tradisi ataupun daripada ajaran agama. Jika kita menggunakan kayu ukur tradisi atau agama dalam membuat penilaian, maka kita akan tersesat. Bukan semua tradisi  adalah benar. Ada yang bertentangan dengan Islam dan ada bersesuaian dengan Islam.

Sebagai contoh, amalan seks bebas atau seks di luar nikah adalah tradisi masyarakat Kristian Barat, sedangkan perbuatan jijik tersebut bukan sebahagian daripada ajaran agama Kristian/Katholik. Malah agama Kristian pun turut mengharamkan zina. Jadi, adakah disebabkan seks bebas atau seks di luar nikah itu merupakan suatu tradisi dan bukan daripada ajaran agama, maka umat Islam pun boleh turut serta melakukannya? Tentu sekali tidak boleh.

Marilah kita kembali menggunakan kayu ukur yang benar untuk menilai sesuatu perbuatan. Kayu ukurnya bukan dilihat dari segi asal usulnya sama ada sesuatu perbuatan itu datangnya daripada tradisi ataupun agama. Sebaliknya melihat dari segi sama ada boleh ataupun tidak perbuatan tersebut menurut Al-Quran dan As-Sunnah. Inilah satu-satunya pandangan yang haq dan tidak ada lagi yang lain.

Haram Bagi Muslim Turut Serta Meraikan Tahun Baru Cina


Jika dikaji berdasarkan dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah, maka adalah haram hukumnya bagi seseorang Muslim untuk turut serta dalam merayakan hari raya agama lain, termasuklah Tahun Baru Cina, tidak kira sama ada dengan mengikuti ritual agamanya ataupun tidak, termasuk juga memberi ucapan Gong Xi Fatt Chai. Kesemuanya adalah haram.

Imam Suyuthi berkata, “Juga termasuk perbuatan mungkar, iaitu turut serta merayakan hari raya orang Yahudi, hari raya orang-orang kafir, hari raya selain orang Arab [yang tidak Islami], ataupun hari raya orang-orang Arab yang tersesat. Orang Muslim tidak boleh melakukan perbuatan tersebut kerana perkara itu akan membawa mereka ke jurang kemungkaran…” (Imam Suyuthi, Al-Amru bi Al-Ittiba’ wa An-Nahyu ‘An Al-Ibtida` (terj.), hal. 91).

Khusus tentang memberi ucapan “selamat” terhadap sambutan agama lain, Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah berkata, “Adapun memberi ucapan selamat yang berkaitan syiar-syiar kekufuran yang menjadi ciri khas kaum kafir, hukumnya adalah haram menurut kesepakatan ulama', misalnya memberi ucapan selamat atas hari raya atau puasa mereka...” (Ahkam Ahli Adz-Dzimmah, [Beirut : Darul Kutub Al-'Ilmiyah], 1995, Juz I/162).

Dalil Al-Quran yang mengharamkan perbuatan kaum Muslimin untuk merayakan hari raya agama kafir adalah melalui firman Allah SWT :

“Dan (hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu adalah) orang-orang yang tidak menghadiri kebohongan…” [TMQ Al-Furqan (25) : 72].

Menurut Imam Ibnu Taimiyah, makna yang tepat bagi kalimat “laa yashhaduuna az-zuur” dalam ayat tersebut adalah tidak menghadiri kebohongan (az-zuur), dan bukannya memberi kesaksian palsu. Dalam bahasa Arab, memberi kesaksian palsu diungkapkan dengan kalimat yashhaduuna bi az-zuur, yakni terdapat tambahan huruf jar yang dibaca bi. Maka ayat di atas yang berbunyi “laa yashhaduuna az-zuur” yang lebih tepat adalah bermaksud “tidak menghadiri kebohongan”, dan bukannya    “memberi kesaksian palsu.” (M. Bin Ali Adh-Dhabi’i, Mukhtarat min Kitab Iqtidha` Shirathal Mustaqim Mukhalafati Ash-habil Jahim (terj.), hal. 59-60)

Manakala kata “az-zuur” (kebohongan) itu sendiri, menurut sebahagian tabi’in seperti Mujahid, adh-Dhahak, Rabi’ bin Anas dan Ikrimah adalah hari-hari kebesaran kaum Musyrik atau kaum jahiliyah sebelum Islam (Imam Suyuthi, Al-Amru bi Al-Ittiba’ wa An-Nahyu ‘An Al-Ibtida` (terj.), hal. 91-95).

Maka ayat di atas adalah dalil kepada haramnya bagi seseorang Muslim untuk merayakan hari raya agama lain seperti hari Natal, Wesak, Deepavali, Tahun Baru Cina dan sebagainya.

Imam Suyuthi juga berdalil dengan dua ayat lain sebagai dasar pengharaman bagi Muslim untuk turut serta merayakan hari raya agama lain (Lihat Imam Suyuthi, ibid., hal. 92). Salah satu daripadanya adalah ayat :

“Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah datangnya ilmu (kebenaran) kepadamu, sesungguhnya jika demikian kamu termasuk golongan orang-orang yang zalim.” [TMQ Al-Baqarah (2) : 145].

Menurut Imam Suyuthi, larangan pada ayat di atas bukan hanya khusus kepada Nabi SAW, tetapi juga merangkumi umat Islam secara umum. Larangan tersebut adalah larangan untuk melakukan perbuatan sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang bodoh atau orang kafir (seperti merayakan hari raya mereka). Walhal yang mereka lakukan itu bukanlah perbuatan yang diredhai oleh Allah dan RasulNya (Lihat Imam Suyuthi, ibid., hal. 92).

Adapun dalil daripada As-Sunnah, hadis daripada Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dalam golongan mereka.(HR Abu Dawud).

Dalam hadis ini, Islam telah mengharamkan kaum Muslimin untuk menyerupakan atau menyamakan diri mereka dengan kaum kafir dalam perkara-perkara yang menjadi ciri khas bagi kekafiran mereka, seperti perayaan hari raya mereka. Oleh itu, adalah haram hukumnya seseorang Muslim untuk turut serta merayakan hari raya agama lain (Lihat Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Penjelasan Tuntas Hukum Seputar Perayaan, [Solo : Pustaka Al-Ummat], 2006, hal. 76).

Berdasarkan kajian fakta dan dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah yang telah dinyatakan di atas, adalah jelas bahawa haram hukumnya bagi seseorang Muslim untuk merayakan Tahun Baru Cina dalam segala bentuk dan juga manifestasinya. Haram bagi kaum Muslimin untuk terikut-ikut dalam mengucapkan Gong Xi Fatt Chai kepada kaum Tionghua, begitu juga haram bagi Muslim untuk menghiasi rumah atau biliknya dengan tanglung khas Cina atau hiasan naga dan pelbagai aksesori lain yang serba merah, kerana itu semua mempunyai kepercayaan tertentu dalam agama tersebut. Haram juga untuk mengadakan pelbagai jenis pertunjukan untuk meraikan Tahun Baru Cina seperti live band, karaoke mandarin dan lain-lain. Semua bentuk perbuatan tersebut haram dilakukan oleh Muslim kerana ia termasuk dalam perbuatan merayakan hari raya agama kafir yang telah diharamkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Seruan Kepada Muslim Etnik Tionghua

Akhir sekali, kami ingin menyeru saudara-saudara kami dari kalangan etnik Tionghua, hendaklah  kalian masuk ke dalam agama Islam secara keseluruhannya (kaffah). Janganlah kalian (semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kalian semua) mengikuti jejak langkah syaitan, yakni masuk ke dalam agama Islam namun pada masa yang sama masih lagi mempertahankan sebahagian daripada ajaran lama yang dahulunya pernah kalian anuti dan amalkan, seperti perayaan Tahun Baru Cina. Renungilah firman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (keseluruhannya), dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”
[TMQ Al-Baqarah (2) : 208]

Wallahua’lam bissawab.\
Dipetik dari : http://www.mykhilafah.com

Jumaat, 13 Januari 2012

Tuhanku! Apakah daku telah kembali kepadamu?

 Oleh: Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Kita sering mendengar cerita orang itu dan orang ini kembali kepada Islam. Cerita orang tertentu ‘kembali kepada Islam’ kadangkala boleh dikomersialkan, terutama apabila dia ternama atau selebriti. Mungkin majlisnya bertambah meriah. Bayaran bertambah tinggi. Sorak sorai makin menghilai. Tepukan makin gemuruh.

Kita wajar bertanya: “Apakah maksud seseorang kembali kepada Allah? Ini satu persoalan yang kelihatan mudah tetapi kadangkala bukan senang untuk benar-benar mengerti hakikatnya. Apabila lambang-lambang agama itu boleh menghasilkan kepentingan dunia, maka soalan ini makin sukar dijawab. Ramai orang yang ingin menggunakan agama bukan kerana dia mencari Tuhan, tetapi kerana agama boleh menjadi jambatan meraih banyak kepentingan duniawi dalam kehidupan ini.

Seorang pesalah yang penuh jenayah ke mahkamah dengan memakai kopiah, apakah itu bererti dia kembali kepada Allah? Seorang penyanyi yang memakai kopiah atau ‘baju melayu’, apakah itu bererti dia telah kembali kepada Allah? Seorang peniaga yang meletakkan ayat-ayat al-Quran di dinding kedainya, apakah dia telah kembali kepada Allah? Seorang yang telah menukar beberapa perkataan hariannya kepada perkataan arab seperti ana, enta, akhi, ukhti, jamaah dan lain-lain, apakah dia telah kembali kepada Allah. Seorang yang menyertai organisasi atau parti yang berlambangkan agama, apakah dia telah kembali kepada Allah? Bahkan seseorang yang mengikut kawan-kawan hadir ke kuliah agama disebabkan tawa-senda riang gembira yang didendangkan oleh penceramah, apakah dia telah kembali kepada Allah?

Kesemua persoalan ini sukar dijawab melainkan oleh diri insan yang berubah itu. Apakah perubahannya itu satu manifestasi ketulusan jiwa yang dahagakan redha dan cinta Tuhan, ataupun itu satu trend yang mempunyai keseronokan yang tersendiri, ataupun satu tindakan yang mempunyai kepentingan duniawi yang tertentu.

Al-Inabah


Perkataan kembali kepada Tuhan disebut sebagai al-inabah ataupun kembali kepada Allah. Al-Quran sering menyeru manusia agar berinabah kepada Allah dan menzahirkan manifestasi tersebut dalam bentuk penghayatan. Firman Allah: (maksudnya) “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan berinabahlah (kembalilah) kamu kepada Tuhan kamu, serta serahlah diri kepadaNya, sebelum datang kepada kamu azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan”.

Insan kembali kepada Allah apabila merasakan diri tersesat ataupun berdosa. Dia hanya mengharapkan keampunan dan keselamatannya apabila bertemu Allah nanti. Mencari sakinah atau ketenangan roh di dunia dan kelazatan hidup di akhirat. Dia tidak kembali kepada Allah sebagai satu ‘pameran’ untuk menyukakan perasaan orang lain atau mengaut satu keuntungan atas tiket al-Inabah. Sama sekali tidak! Jika itu berlaku, hakikatnya dia tidak kembali kepada Allah. Inilah yang Nabi s.a.w tegaskan semasa hijrah. Soal keikhlasan jiwa insan yang berhijrah atas nama Tuhan. Mungkin petunjuk zahir kelihatan sama di mata awam, namun hakikat di sisi Allah berbeza. Justeru Nabi s.a.w menyebut: “Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan rasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasulNya. Sesiapa yang hijrahnya mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Ikhlas

Maka, perkara maha utama dalam agama ini ialah soal keikhlasan insan terhadap tuhannya. Ia adalah perkara rohani yang paling ramai manusia gagal menunaikannya. Bukan sahaja orang jahil yang gagal dalam menanganinya, telah gagal juga orang alim. Bukan sahaja gagal para penceramah agama, telah gagal juga para mujahid yang berperang di jalan Allah. Bukan sahaja telah gagal mereka yang membaca buku biasa, tetapi telah gagal mereka yang membaca al-Quran. Bukan sahaja telah gagal penderma kecil, tetapi telah gagal juga penderma yang besar.

Sabda Nabi s.a.w: “Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu”.  Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (riwayat Muslim).

Hadis ini sangat merunsingkan kita semua. Demikianlah besarnya peranan ikhlas. Sejauhmana pun manusia memuji kita, tiada ertinya jika amalan kita ini tidak dinilai ikhlas di sisi Allah. Hakikat yang mesti direnung oleh setiap insan tentang dirinya: siapakah aku ini di sisi Tuhanku?”. Segala ceramah, pakaian agama, bahasa yang ‘berbunyi’ agama, lambang yang ‘bercorak agama’ dan segalanya itu tiada apa-apa erti jika seseorang itu ditolak keikhlasan oleh Allah. Syaitan boleh menukar niat yang murni menjadi bongkak dan riyak. Akhirnya berguguran pahala bagaikan daun yang kering. Ya Allah! Betapa kami takut hal itu. Ampunilah kami, curahkan keikhlasan ke dalam nurani ini.