Jumaat, 13 Januari 2012

Tuhanku! Apakah daku telah kembali kepadamu?

 Oleh: Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Kita sering mendengar cerita orang itu dan orang ini kembali kepada Islam. Cerita orang tertentu ‘kembali kepada Islam’ kadangkala boleh dikomersialkan, terutama apabila dia ternama atau selebriti. Mungkin majlisnya bertambah meriah. Bayaran bertambah tinggi. Sorak sorai makin menghilai. Tepukan makin gemuruh.

Kita wajar bertanya: “Apakah maksud seseorang kembali kepada Allah? Ini satu persoalan yang kelihatan mudah tetapi kadangkala bukan senang untuk benar-benar mengerti hakikatnya. Apabila lambang-lambang agama itu boleh menghasilkan kepentingan dunia, maka soalan ini makin sukar dijawab. Ramai orang yang ingin menggunakan agama bukan kerana dia mencari Tuhan, tetapi kerana agama boleh menjadi jambatan meraih banyak kepentingan duniawi dalam kehidupan ini.

Seorang pesalah yang penuh jenayah ke mahkamah dengan memakai kopiah, apakah itu bererti dia kembali kepada Allah? Seorang penyanyi yang memakai kopiah atau ‘baju melayu’, apakah itu bererti dia telah kembali kepada Allah? Seorang peniaga yang meletakkan ayat-ayat al-Quran di dinding kedainya, apakah dia telah kembali kepada Allah? Seorang yang telah menukar beberapa perkataan hariannya kepada perkataan arab seperti ana, enta, akhi, ukhti, jamaah dan lain-lain, apakah dia telah kembali kepada Allah. Seorang yang menyertai organisasi atau parti yang berlambangkan agama, apakah dia telah kembali kepada Allah? Bahkan seseorang yang mengikut kawan-kawan hadir ke kuliah agama disebabkan tawa-senda riang gembira yang didendangkan oleh penceramah, apakah dia telah kembali kepada Allah?

Kesemua persoalan ini sukar dijawab melainkan oleh diri insan yang berubah itu. Apakah perubahannya itu satu manifestasi ketulusan jiwa yang dahagakan redha dan cinta Tuhan, ataupun itu satu trend yang mempunyai keseronokan yang tersendiri, ataupun satu tindakan yang mempunyai kepentingan duniawi yang tertentu.

Al-Inabah


Perkataan kembali kepada Tuhan disebut sebagai al-inabah ataupun kembali kepada Allah. Al-Quran sering menyeru manusia agar berinabah kepada Allah dan menzahirkan manifestasi tersebut dalam bentuk penghayatan. Firman Allah: (maksudnya) “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan berinabahlah (kembalilah) kamu kepada Tuhan kamu, serta serahlah diri kepadaNya, sebelum datang kepada kamu azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan”.

Insan kembali kepada Allah apabila merasakan diri tersesat ataupun berdosa. Dia hanya mengharapkan keampunan dan keselamatannya apabila bertemu Allah nanti. Mencari sakinah atau ketenangan roh di dunia dan kelazatan hidup di akhirat. Dia tidak kembali kepada Allah sebagai satu ‘pameran’ untuk menyukakan perasaan orang lain atau mengaut satu keuntungan atas tiket al-Inabah. Sama sekali tidak! Jika itu berlaku, hakikatnya dia tidak kembali kepada Allah. Inilah yang Nabi s.a.w tegaskan semasa hijrah. Soal keikhlasan jiwa insan yang berhijrah atas nama Tuhan. Mungkin petunjuk zahir kelihatan sama di mata awam, namun hakikat di sisi Allah berbeza. Justeru Nabi s.a.w menyebut: “Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan rasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasulNya. Sesiapa yang hijrahnya mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Ikhlas

Maka, perkara maha utama dalam agama ini ialah soal keikhlasan insan terhadap tuhannya. Ia adalah perkara rohani yang paling ramai manusia gagal menunaikannya. Bukan sahaja orang jahil yang gagal dalam menanganinya, telah gagal juga orang alim. Bukan sahaja gagal para penceramah agama, telah gagal juga para mujahid yang berperang di jalan Allah. Bukan sahaja telah gagal mereka yang membaca buku biasa, tetapi telah gagal mereka yang membaca al-Quran. Bukan sahaja telah gagal penderma kecil, tetapi telah gagal juga penderma yang besar.

Sabda Nabi s.a.w: “Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu”.  Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (riwayat Muslim).

Hadis ini sangat merunsingkan kita semua. Demikianlah besarnya peranan ikhlas. Sejauhmana pun manusia memuji kita, tiada ertinya jika amalan kita ini tidak dinilai ikhlas di sisi Allah. Hakikat yang mesti direnung oleh setiap insan tentang dirinya: siapakah aku ini di sisi Tuhanku?”. Segala ceramah, pakaian agama, bahasa yang ‘berbunyi’ agama, lambang yang ‘bercorak agama’ dan segalanya itu tiada apa-apa erti jika seseorang itu ditolak keikhlasan oleh Allah. Syaitan boleh menukar niat yang murni menjadi bongkak dan riyak. Akhirnya berguguran pahala bagaikan daun yang kering. Ya Allah! Betapa kami takut hal itu. Ampunilah kami, curahkan keikhlasan ke dalam nurani ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan