Memaparkan catatan dengan label Fikrahku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fikrahku. Papar semua catatan

Rabu, 18 Disember 2013

MENASIHATI PEMERINTAH MENURUT AS-SUNNAH DAN LARANGAN MEMBERONTAK

------
NASIHATILAH PEMIMPINMU DENGAN PETUNJUK AS-SUNNAH
------

Seperti yang kita sedia maklum, pengaruh para ulama di kalangan rakyat amatlah besar, oleh itu tugas besar ulama yang wajib dipikul oleh mereka ialah menyedarkan ummah (rakyat) agar mentaati penguasa atau pemimpin Islam. Ulama wajib menolong pemerintah menyatukan ummah agar tidak membenci, memusuhi dan tidak keluar dari jamaah (pemerintah dan pemimpin Islam). Inilah antara amal bir (kebaikan) dan takwa yang dituntut oleh al-Quran agar di lakukan oleh para ulama. Allah Azza wa-Jalla berfirman:

“Bertolong-tolonglah kamu atas kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan atas perkara dosa dan permusuhan”. (al-Maidah 5: 2)

Berkata Ibnu Abi Hatim rahimahullah:


“Ayahku telah menceritakan kepadaku, Amr bin Ali as-Sairafi telah menceritakan bahawa Abdu Rabbuh bin Bariq al-Hanafi telah menceritakan bahawa Simak bin al-Walid al-Hanafi berjumpa Ibnu Abbas di Madinah, beliau berkata kepadanya: Bagaimana menghadapi sikap penguasa yang telah menzalimi kita, mencela kita dan merampas sadaqah kita, bukankah kita harus mencegah mereka? Ibnu Abbas menjawab: Jangan! Biarkanlah mereka wahai Hanafi! Lalu beliau menambah: Wahai Hanafi! Al-Jamaah, al-Jamaah (peliharalah persatuan di bawah pemimpin) sebab hancurnya umat dahulu kerana perpecahan, apakah kamu tidak mendengar firman Allah: Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai”.
(Tafsir Ibnu Hatim 2/455. Tahqiq Dr. Hikmat Basyir Sayuti. Lihat: Ad-Darrul Mansur 2/285-286. Cetakan Darul Fikr.)

“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka”. (Ali Imran 3: 105)

Kisah di atas ini adalah contoh tauladan kepada umat Islam, bahawa para ulama di zaman awal bertindak mendidik rakyat jelata agar memelihara hak-hak pemimpin. Dengan ini adalah wajib bekerjasama dan tolong-menolong antara para ulama dengan penguasa, terutama dalam usaha mengislah rakyat dengan konseptualisasi siyasah as-Syariyah mengikut manhaj ahlus sunnah, kerana para ulama generasi awal Islam sentiasa membenci tindakan yang mengarah kepada perpecahan, malahan mereka mewajibkan bekerjasama dengan pemimpin negara Islam, berjamaah dengan mereka dan menyemai rasa persaudaraan di bawah bumbung pemimpin negara berdasarkan firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara” (al-Hujurat 49: 10)

Sabda Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Tiga perkara yang menyelamatkan hati seseorang Muslim dari kedengkian: Ikhlas dalam beramal kerana Allah, menasihati penguasa dan komitmen dengan jamaah kaum Muslimin”. (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad 4/80-82)

Kapasiti pemikiran rakyat perlu diisi dan diyakinkan oleh pemerintah dengan kerjasama ulama dengan pengisian siyasah (politik) yang sejajar dengan kehendak agama, agar generasi yang bakal mewarisi pemerintahan dapat disalurkan ke destinasi dan dimensi pemahaman siyasah as-syariyah menurut al-Quran dan as-Sunnah yang autentik. Kerana keberkesanan dan keagungan siyasah Islamiyah yang telah ditunaikan oleh para golongan terdahulu terutama pada zaman generasi awal, kedua dan ketiga selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjadi bukti untuk meyakinkan rakyat.

Siyasah Islamiyah dengan kerjasama umara (penguasa/pemerintah) dan hukama (para ulama) dapat menyatukan hati rakyat untuk mentaati pemimpin kerana ia adalah merupakan perintah Allah kepada orang-orang yang beriman sebagaimana dijelaskan melalui firmanNya:

“Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (pemerintah) antara kamu”. (an-Nisaa 4: 59)

Berkata Abdus Salam bin Bajras bin Hashir Ali Abdul Karim:

“Antara perintah Allah dalam ayat ini ialah mengenai hal kewajipan kita taat kepada penguasa, dan Allah Subhanahu wa-Ta’ala mensetarakan ketaatan kepada pemimpin dengan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Ini semuanya menunjukkan betapa penting posisi pemimpin dan amat agung keadaannya”. (Mu’amalatul Hukkam Fi Dhauil Kitab was-Sunnah. Hlm. 50)

Al-‘Izz bin Abdussalam rahimahullah juga menegaskan:

“Sepakat kaum Muslimin bahawa taat kepada kekuasaan pemimpin termasuk ketaatan kepada Allah”. (Qawa’idul Ahkam fi Masalihul Anam. 1/104)

Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:

“Sikap (taat kepada pemimpin) termasuk kewajipan terhadap agama yang agung”. (Majmu’ al-Fatawa 28/390)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

Dengarlah dan taatilah penguasa diwaktu susah dan senang, diwaktu lapang dan sempit, walaupun mereka mementingkan diri sendiri dan memakan hartamu serta memukul punggungmu, kecuali apabila memerintahkan untuk berbuat maksiat. (Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya. 10/426. Sanadnya hasan)

Dan dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, dari jalan Nashr bin Ashim, dari Subi’ bin Khalid, dari Huzaifah al-Yaman radiallahu ‘anhu:

“Setelah Allah mempunyai khalifah di muka bumi dan dia memukul punggungmu serta mengambil harta bendamu, maka kamu (diperintah agar ) tetap taat”.

------
MENASIHATI PARA PEMIMPIN DAN PEMERINTAH
------

Telah sepakat para ulama yang beridir di atas paksi ahlus sunnah bahawa menasihati dan menegur kesilapan penguasa/pemimpin adalah merupakan perintah dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Namun ia bukanlah dilakukan di khalayak ramai atau umum, tetapi dilakukan secara peribadi iaitu di kalangan mereka yang berilmu. Menegur pemimpin di khalayak umum adalah salah satu contoh sikap yang tidak sopan yang mana adalah menyalahi sunnah, malah merupakan kejahatan hawa nafsu kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Barangsiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam suatu perkara, maka janganlah disebarkan (dicanang/dihebohkan) secara terang-terangan, akan tetapi peganglah tangannya dan ajaklah dia berbincang dengan diam-diam. Jika dia menerima, maka itulah diharapkan, jika tidak maka sesungguhnya dia telah menunaikan kewajipannya”. (Majma 5/229. Hadis Riwayat Imam Ahmad. Lihat: As-Sunnah 2/522 dari jalur Muhammad bin Ismail bin Abbas)

Ibnu Nahhas rahimahullah berkata:

“Saat yang amat tepat untuk menasihati pemimpin adalah disaat sepi dari pihak ketiga. Ini lebih baik daripada bersuara secara terbuka di hadapan media massa, bahkan menyuarakan dan menasihati pemimpin lebih mulia secara rahsia tanpa ada liputan pihak yang ketiga.” (Tanbihul Ghafilin ‘An A’ma lul-Jahilin wa-Tahzirus Salikin Min Af’alil Halikin)

Syara’ tidak pernah menghalalkan sesiapapun dari kalangan umat Islam untuk mengumpat, membongkar keburukkan, mencari cacat-cela, sengaja menghina, mengkafirkan dan mereka-reka fitnah terhadap pemerintah, lebih-lebih lagi jika bertujuan untuk menjatuhkannya. Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang mewajibkan umat Islam mematuhi dan mentaati pemerintah Islam demi menjaga dan memelihara kesatuan umat, keutuhan agama dan martabat Islam:

"Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Sesungguhnya Allah rela atas kamu dalam tiga perkara: Hendaklah kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, hendaklah kamu sekalian berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan janganlah berpecah-belah, dan hendaklah kamu sekalian saling menasihati dengan orang yang diangkat Allah untuk memegang urusanmu (pemimpin kamu)". (Musnad Imam Ahmad, 2/376)

Maksud "Pemimpin kamu" ialah "Para pemimpin yang beragama Islam". Dalam hal ini al-Allamah As-Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata:

“Bukanlah termasuk uslub (metode/kaedah) para ulama generasi awal dalam hal melakukan perbuatan mendedahkan aib pemimpin dan menyebutkannya di atas mimbar (atau pentas), kerana hal ini hanya menimbulkan kerusuhan (kerosakan) dan hilangnya ketaatan rakyat terhadap pemimpin, juga menyebabkan banyak persepsi dan pandangan yang merbahaya yang tidak mendatangkan manfaat”.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:

"Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin, maka janganlah melakukannya dengan terang-terang (di khalayak ramai di hadapan umum) dan hendaklah dia mengambil tangannya (bersemuka empat mata sahaja). Jika pemimpin mahu mendengar maka itulah yang diinginkan dan jika tidak mahu maka dia telah menunaikan kewajipannya". (Hadis Riwayat Bukhari)

Di dalam Nasihatun Muhimmatun fi Salasi Qadaya ada termaktub:

“Apabila kemungkaran itu dilakukan oleh seorang pemimpin atau selainnya, hendaklah dia dinasihati dengan lemah lembut dan secara rahsia sehingga tidak diketahui oleh seorangpun, dengan harapan dia mahu menerimanya. Jika dia enggan, maka mintalah bantuan seseorang untuk menasihatinya dengan bersembunyi-sembunyi agar dia menerima nasihatnya. Jika sekiranya dia menolak juga, maka kita boleh secara terang-terangan mengingkari sifat pemimpin seperti itu” . (Nasihatun Muhimmatun fi Salasi Qadaya. Hlm. 49)

Imam Asy-Syaukani rahimahullah berkata:

“Orang yang menyedari sebahagian permasalahan tentang kesalahan pemimpin, hendaklah menasihatinya, jangan menyebarkannya di hadapan orang ramai (umum). Namun hendaklah dia berbincang secara empat mata dalam menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, pent.) serta tidak melekehkannya sebagaimana terdapat dalam hadis” . (Sail al-Jarrar 4/556. Asy-Syaukani)

Ini bermakna, sesiapa yang berpakat untuk menjatuhkan pemerintah atau pemimpin Islam adalah menyalahi manhaj ahlus sunnah wal-jama’ah. Begitu juga, mereka yang suka melontarkan kata-kata kotor, membuat tuduhan palsu, memfitnah dan mengkafirkan para pemimpin Islam adalah bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berada di atas manhaj yang tulen. Maka kepada mereka yang terlibat dengan pekerjaan mungkar ini, hendaklah bertaubat dan merubah niat kepada nasihat, kerana telah berkata Abu Usman az-Zahid:

“Nasihatilah para penguasa, perbanyakanlah doa untuk mereka agar mereka melakukan kebaikan dan kebenaran dalam beramal dan menjalankan hukum. Sesungguhnya jika mereka baik, maka akan baiklah rakyat. Hati-hatilah kamu! Jangan sampai kamu mendoakan keburukan atau melaknat mereka, kerana yang demikian hanya akan menambah kerosakan keadaan orang-orang Islam. Tetapi mintakanlah ampunan kepada Allah untuk penguasa (pemerintah dan pemimpin), semoga mereka meninggalkan perbuatan yang tidak baik, kemudian dihilangkanlah musibah dari kaum Muslimin”. (Al-Jamii Li Syu’abil Iman. 13/99. Al-Baihaqi. Cetakan Dar as-Salafiyah)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

"Sesungguhnya manusia itu apabila mereka melihat kezaliman dan mereka tidak mencegah dengan tangannya, maka dibimbangkan Allah akan menyiksa mereka keseluruhannya".

Berkata Ibn Abil 'Izzii rahimahullah:

"Sesungguhnya al-Quran dan as-Sunnah telah menunjukkan atas kewajipan menasihati pemerintah dan seterusnya taat kepada pemerintah selama dia tidak memerintahkan agar melakukan kemaksiatan".

Firman Allah Azza wa-Jalla:

"Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu". (an-Nisa 4: 59)

Semua nas di atas menyeru umat Islam menasihati pemerintah atau pemimpin. Tidak dibenarkan menentang mereka, tetapi diperintah agar mendoakan mereka. Ibnu Nahhas berkata:

“Dalam masalah menegur penguasa (pemimpin), pendapat yang benar ialah melakukannya secara individu, bukan di hadapan khalayak ramai. Bahkan amat baik jika tegurannya secara rahsia atau menasihatinya dengan cara sembunyi-sembunyi, tanpa ada pihak yang ketiga”. (Tanbih al-Gafilin an-A’malil Jahilin wa-Ta’zirus Salikin Min Af’alil Halikin. Hlm. 64)

Haram menubuhkan pemerintahan dalam sebuah negara Islam yang telah ada pemerintah dan ketua negara yang sah. Malah sesiapa yang menentang pemerintah yang sah yang telah dipilih oleh rakyat, kemudian memimpin rakyat untuk memprotes secara yang tidak sihat dan memfitnah penguasa (kerajaan) tanpa ada bukti, maka mereka ini sebenarnya mewarisi sifat-sifat kaum Khawarij yang sikapnya gemar memberontak, yang mana perbuatan mereka bertentangan dengan nas-nas al-Quran, as-Sunnah, atsar para sahabat dan fatwa-fatwa para ulama muktabar yang mengharamkan perbuatan sedemikian.

Telah berkata Muhammad bin al-Hussin al-Ajuri rahimahumullah (dalam memberi peringatan kepada kaum Khawarij):

"Khawarij adalah golongan yang menentang kepimpinan orang Islam sebagaimana yang terjadi terhadap kepimpinan Ali radiallahu 'anhu. Cara mereka menentang dengan melaung-laungkan slogan: ( لاَحُكْمَ اِلاَّ للهِ ) bermaksud: "Tidak ada hukum kecuali dari Allah" (Slogan ini samalah dengan apa yang dilaungkan oleh kelompk-kelompok tertentu yang lantang menentang kerajaan pemerintah di beberapa negara Islam. Mereka mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak bersama kelompok mereka, tidak berjuang bersama mereka dan tidak berhukum dengan hukum Allah).

Berkata Ali radiallahu 'anhu untuk menentang dan membatalkan di’ayah/propaganda yang dilaungkan oleh Khawarij iaitu (لاَحُكْمَ اِلاَّ للهِ), maka beliau berkata:

"Kalimah yang hak tetapi yang mereka inginkan dari laungannya ialah kebatilan (kehancuran pemerintah)".

Fahaman Khawarij telah digerakkan semula oleh golongan fanatisime dengan nama dan istilah "Pejuang Tauhid Hakimiyah" iaitu mentauhidkan hukum, atau mengkafirkan secara mutlak sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Golongan ini telah bergerak di negara-negara Islam termasuk di Malaysia.

Mereka menghidupkan fahaman “Tauhid Hakimiyah” di setiap tempat yang dapat menerima fahaman ini. Kebiasaannya berselindung di sebalik parti politik. Ruang untuk mereka bergerak terbuka luas kerana kebanyakan negara-negara Islam yang mengamalkan dasar politik demokrasi mengizinkan sesiapapun dari rakyatnya menubuhkan parti politik yang baru.

Mungkin amat menakutkan apabila kita mengetahui bahawa Khawarij disebut dan digelar sebagai anjing neraka oleh Nabi Mhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

Disuatu kejadian, diriwayatkan oleh Sa’id bin Jamhan, beliau berkata:

“Aku mendatangi Abdullah bin Aufa (seorang buta), lalu aku memberi salam kepadanya. Beliau bertanya, siapa kamu? Aku menjawab: Sa’id bin Jamhan. Beliau bertanya. Apa yang dilakukan oleh orang tuamu? Aku menjawab: Dibunuh oleh kaum Azariqah. Beliau berkata: Semoga Allah melaknat orang-orang Azariqah kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Sesungguhnya mereka adalah anjing-anjing neraka”.

Aku bertanya, apakah itu khusus pada orang-orang Azariqah atau untuk orang-orang Khawarij seluruhnya? Beliau menjawab: Orang-orang Khawarij seluruhnya. (Hadis Riwayat Imam Ahmad 4/382. Dan Ibnu Abu Asim 905, dari jalan al-Hasyraj bin Nabatah. Menurut Syekh Nasruddin al-Albani sanadnya Hasan)

Imam Ahmad rahimahullah menguatkan lagi riwayat hadis di atas, iaitu agar tidak mencela penguasa dan tidak meniru sifat-sifat Khawarij:

“Aku (Ibnu Jamhan) berkata: Sultan berlaku zalim kepada manusia dan menindas mereka. Dia berkata: Lalu dia (Abdullah bin Aufa) memeluk tanganku dan menariknya dengan kuat, kemudian berkata: Celaka kamu wahai Ibnu Jamhan! Kamu wajib mengikuti sawadul a’zam (beliau mengulangi dua kali), jika Sultan mahu mendengar darimu maka datanglah ke rumahnya dan beritahu yang kamu ketahui (menasihatinya), jika dia menerimanya maka itu baik, tetapi jika ia tidak menerimanya maka tinggalkanlah. Kamu tidak lebih tahu darinya”. (H/R Imam Ahmad 4/382. Dan Ibnu Abu Asim 905, dari jalan al-Hasyraj bin Nabatah. Menurut Syekh Nasruddin al-Albani sanadnya Hasan)

------
LARANGAN MENGAIBKAN PEMERINTAH/PENGUASA
------

Pendirian Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berdiri di atas paksi yang benar, mereka sentiasa bertindak menyeru/mengajak sekalian umat supaya saling mencintai para saudara seagama-nya, tidak dipertikai siapa dan apa kedudukannya. Mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan saudara-saudaranya seagama, senegara dan para pemimpinnya. Menasihati para pemimpin jika didapati silap, kerana kebaikan pemimpin memberi manfaat kepada seluruh rakyat. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

اَلدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ ، قَلْنَا لِمَنْ يَارَسُوْلَ اللهِ ؟ قَالَ : للهِ ، وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ ، وَِلاَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ.

“Agama itu adalah nasihat, kami berkata: Bagi siapa wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para pemimpin, kaum muslimin dan orang-orang awam”. (Hadis Riwayat Muslim, beliau menyendiri dalam lafaz hadis ini. Hadis dari Tamim ad-Dari)

Melalui hadis ini dapat difahami bahawa menasihati pemimpin itu amat dituntut, namun bagi mereka yang menyelisihi manhaj ahlus sunnah wal-jama’ah adalah sebaliknya, mereka lebih gemar bersifat dan berciri penderhaka kepada negara. Berkomplot untuk menumbangkan kerajaan Islam. Mengikis rasa cinta dan persaudaraan seagama. Mengkafirkan saudara-saudaranya yang seagama dan kerajaannya jika mereka tidak mengikut ideologi alirannya/kelompoknya/kumpulannya. Dan mereka sentiasa berusaha dengan pelbagai cara supaya rakyat membenci pemimpin Islam.

Kebanyakan kelompok-kelompok yang menyelisihi manhaj ahlus sunnah dalam urusan mentaati pemerintah ini gemar menggunakan topeng ibadah untuk mempengaruhi hati rakyat, bersolat hajat dan berdoa beramai-ramai agar ditimpakan kecelakaan, kehancuran, kemusnahan atau kejatuhan ke atas pemerintah Islam dengan beralasan bahawa pemerintah tidak berhukum dengan hukum Allah, kafir, zalim, fasik dan sebagainya.

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah menceritakan tentang sikap manusia seperti ini, lalu mengancam mereka dengan ancaman yang menakutkan:

عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِذَا قَالَ الرَّجُلُ : هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ اَهْلَكَهُمْ.
"Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Apabila seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang akan binasa". (Hadis Riwayat Muslim)

Imam Al-Barbahari berkata:

"Jika kamu mendengar seseorang suka mendoakan kecelakaan terhadap penguasa (pemimpin), maka ketahuilah bahawa dia adalah pengikut hawa nafsu (pembuat/aktivis bid'ah)". (Lihat; Al-Ibanah. Jld. 2. Hlm. 116. No.136)

سَيَكُوْنُ بَعْدِيْ سُلْطَانٌ فَاَعِزُّوْهُ مَنِ الْتَمَسَ ذِلَّهُ شَغَرَ شَغَرَةً فِى اْلاِسْلاَمِ وَلَمْ يُقْبَلْ مِنْهُ تَوْبَةٌ حَتَّى يُعِيْدُهَا كَمَا كَانَتْ .
"Akan muncul selepas peninggalanku seorang pemimpin, maka muliakanlah dia, dan barangsiapa mencari-cari kehinaannya (kesalahannya dan keaibannya) bererti dia telah melubangi satu sendi dalam Islam dan tidak akan diterima taubatnya sampailah dia (mengembalikan keadaan sebagaimana sediakala)". (Lihat: As-Sunnah (2/513). Dari Ibn Abi 'Asim. Sanad hadis ini sahih)

Berkata Imam As-Syaukani Rahimahullah:

"Sebaiknya bagi orang yang menyedari kesalahan pemerintah (penguasa yang beragama Islam) dalam beberapa permasalahan untuk menasihatinya dengan tidak menyebarkan maki hamun kepadanya di khalayak umum". (Lihat: السيل الجرار Jld. 4. Hlm. 556)

Ibn Qayyim menjelaskan bagaimana sewajarnya sikap para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah dan orang-orang awam yang beriman terhadap para pemimpin yang masih beragama Islam:

Apabila mengikuti (mentaati) hadis Nabi (tentang negara atau pemerintah yang beragama Islam): Semestinya menasihati pemimpin-pemimpin kaum muslimin, hadis ini (yang memerintahkan agar mendekati dan menasihati pemimpin Islam) mengandungi maksud agar menghilangkan sifat iri hati dan dengki, kerana nasihat tidak mungkin bersatu dengan kedengkian, sebaliknya ia melawan rasa kedengkian. Oleh kerana itu sesiapa yang menegakkan nasihat kepada para pemimpin Islam dan rakyat biasa, bermakna dia telah terlepas dari sifat dengki". (Lihat: مفتاح دار السعادة Jld. 1. Hlm. 72)

Seterusnya Ibn Qayyim rahimahullah berkata lagi:

“Hal ini jauh berbeza dengan keadaan orang yang suka menentang pemerintah dan menghabiskan masanya dengan memaki-hamun (mencela, mencerca dan memburuk-burukkan para pemimpin Islam, pent.). Mereka suka mengaibkan dan menghina, maka ini samalah dengan tindakan kaum-kaum Rafidah, Khawarij, Muktazilah dan golongan yang seumpama mereka, kerana hati mereka sudah dipenuhi rasa iri hati dan kedengkian". (Lihat: مفتاح دار السعادة Jld. 1. Hlm. 72)

Menurut Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab:

"Sesungguhnya termasuk dalam kesepakatan ulama (kaum muslimin) agar mendengar kemudian taat kepada siapa sahaja yang memerintah kita walaupun dia adalah seorang hamba Habsyi (selagi ia beragama Islam. Pent)". (Lihat: اصول الستة Muhammad bin Abdul Wahab)

Berkata Imam Tahawi rahimahullah:

"Kita tidak pernah diizinkan untuk memberontak kepada imam-imam dan pemimpin negara kita (pemimpin muslim), sekalipun mereka zalim. Kita tidak boleh mendoakan mereka (supaya jatuh), tidak boleh menarik ketaatan kepada mereka kerana ketaatan kita kepada mereka termasuk ketaatan kepada Allah, hal ini adalah wajib selagi kita tidak dipaksa mentaati yang maksiat dan kita sewajarnya mendoakan mereka dengan kebaikan dan ampunan (bukan sebaliknya, pent.)".

Nas-nas al-Quran, hadis-hadis sahih dan fatwa-fatwa para ulama Salaf as-Soleh yang tertera di atas, telah menjelaskan bahawa menentang, memfitnah, menghina dan berjuang untuk menjatuhkan pemerintahan Islam dan pemimpinnya, adalah perbuatan bid'ah dan haram.

Dalam sejarah, al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi terkenal dengan kezalimannya, bengis dan kejam dalam menumpahkan darah, menodai hal-hal yang diharamkan Allah, membunuh tokoh-tokoh utama umat Islam seperti Sa’id bin Zubir. Menghalalkan apa-apa yang haram. Mengepung Ibnu Zubir yang telah berlindung di Ka’abah dan kemudian membunuhnya walaupun Ibnu Zubir telah ditaati dan dibaiat oleh penduduk Mekkah, Madinah, Yaman dan sebahagian wilayah Iraq.

Al-Hajjaj adalah wakil Marwan, sekaligus wakil anaknya Abdul Malik. Tidak ada seorang khalifah pun yang menjanjikan Marwan (menjadi penguasa) dan tidak dibaiat oleh Ahlul Halli wal Aqdi. Ibnu Umar dan ramai lagi para sahabat hidup dan mengharungi zaman kekuasaan al-Hajjaj, namun mereka tidak mencabut ketaatan kepada al-Hajjaj, mereka tidak melarang sesiapa untuk taat kepadanya dalam perkara-perkara yang boleh mempertahankan agama dan hak-hak rakyat.

Bani Abbasiyah ketika menguasai dan memerintah kaum Muslimin. Mereka terkenal keras, kejam dan ketajaman pedangnya. Banyak membunuh manusia dari berbagai-bagai kalangan, terutama dari kalangan pemimpin dan tokoh Bani Umaiyah. Antara yang dibunuh adalah Ibnu Hubairah penguasa Iraq dan juga Khalifah Marwan.

As-Saffah penguasa Bani Abbasiyah membunuh lapan puluh orang dari Bani Umayah dalam sehari. Walaupun sudah demikian parahnya, para imam kaum Muslimin seperti al-Auzaii, Malik, Al-Laits bin Sa’ad, Atha’ bin Abi Rabah dan yang lainnya tetap bersikap taat dan mendengar. Kebenaran seperti ini hanya dapat difahami oleh sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu yang mendalam.

Adalah haram hukumnya bagi sesiapa yang berniat mahu menjatuhkan penguasa, para pemimpin yang berkuasa, pemerintah dan mereka yang memerintah, kerana menjatuhkan penguasa sama dengan merampas kekuasaan yang ada di tangan mereka yang pasti akan mengakibatkan perpecahan, perbalahan, huru-hara, kacau-bilau dan boleh menyebabkan kemusnahan kepada agama, harta benda, negara dan umat Islam.

Di zaman para Imam muktabar seperti Imam Ahmad bin Hambal, Muhammad bin Ismail, Muhammad bin Idris (as-Syafie), Ahmad bin Nuh, Ishak bin Rahawih dan ramai lagi, mereka menghadapi suatu masa di mana para penguasanya banyak melakukan perbuatan zalim dan bid’ah yang sangat serious. Penguasa dimasa itu mengingkari sifat-sifat Allah. Para ulama dipaksa untuk menyokong kesesatan tersebut, tetapi para ulama tidak berganjak dengan perinsip-perinsip kebenaran. Para ulama diuji dengan berbagai-bagai siksaan. Ramai yang telah dibunuh, antara mereka ialah Ahmad bin Hashr. Walaupun keadaan ini sudah demikian sadisnya, namun tidak mendorong para ulama untuk keluar dari ketaatan dan tidak melakukan pemberontakan, tidak mencerca dan tidak memburuk-burukkan penguasa (pemimpin mereka). (Lihat: Ad-Durar as-Sunniyah fil Ajwibah an-Najdiyah 7/177-178)

Kewajipan para ulama ialah mendidik rakyat, menyebarkan segala kebaikan pemerintah, mengenang budi dan jasa di atas kebaikan dan pembangunan yang telah diusahakan, bersyukur kepada Allah, berterima kasih, menjauhkan rakyat dari menyebarkan keburukan pemerintah, para pemimpin dan ketua negara mereka kerana mereka beragama Islam.

Memburuk-burukkan kerajaan, penguasa atau pemimpin adalah perbuatan yan salah menurut manhaj ahlus sunnah wal-Jama’ah, malah bertentangan dengan etika, amalan, sikap dan prinsip ulama terdahulu. Memaki-hamun, kutuk-mengutuk, caci, sumpah-seranah, menabur fitnah, menyebar keburukan pemerintah dan menanam perasaan benci terhadap penguasa atau pemimpin Islam adalah perbuatan yang diharamkan oleh al-Quran, hadis-hadis sahih dan fatwa para ulama terdahulu. Firman Allah:


اِنَّ الَّذِيْنَ يُحِبُّوْنَ اَنْ تَشِيْعَ الْفَاحِشَةُ فِى الَّذِيْنَ ءامَنُوْا لَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ فِىالدُّنْيَا وَاْلاَخِرَةِ وَاللهُ يَعْلَمُ وَاَنْتُمْ لاَتَعْلَمُوْنَ .
"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui". (an-Nur 24: 19)


وَلاَ تَسُبُّوْا اُمَرَاءَ كُمْ وَلاَتَغُشُّوْهُمْ وَلاَتَبْغِضُوْهُمْ وَاتَّقُوْا اللهَ وَاصْبِرُوْا فِاِنَّ اْلاَمْرَ قَرِيْبٌ.
"Dan janganlah kamu maki (kutuk/maki-hamun) para pemimpin kamu, janganlah mengkhianati mereka dan janganlah menjadikan mereka marah. Bertakwalah kamu kepada Allah dan bersabarlah kerana urusan itu adalah dekat". (Lihat: As-Sunnah. 2/499. Ibn Abi 'Asim)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Ada lima perkara barangsiapa melaksanakan salah satu darinya di bawah jaminan Allah Subhanahu wa-Ta’ala: Iaitu melawat orang yang sakit, berjihad di medan perang dan menemui penguasa (pemimpin) dengan niat untuk menghormati dan memuliakannya atau duduk di rumah (berdiam diri) sehingga orang aman darinya (sehingga aman manusia)”. (Lihat: As-Sunnah 2/490-492. Ibnu Abi ‘Asim. Ahmad dalam Musnad 5/241. Zilalul Jannah fi Takhrij as-Sunnah 2/490-491. Al-Albani. Ibnu Zanjawiyah dalam Al-Amwal 1/87)

Allahu a’lam...

Rabu, 22 Februari 2012

Filem, drama tahyul beri kesan negatif


2012/02/22

JUANDA  pada sidang media di pejabatnya di Kangar, semalam.
JUANDA pada sidang media di pejabatnya di Kangar, semalam.
Jejas pembinaan masyarakat bertamadun: Mufti Perlis

KANGAR: Lambakan filem dan drama berunsur tahyul, hantu dan seram yang ditayangkan terutama melalui televisyen memberi kesan negatif terhadap pembinaan masyarakat yang bertamadun, kata Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya.
Berikutan itu, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) memantau serta mengawal penayangan filem dan drama seumpama itu yang antaranya menggambarkan tahap penghinaan yang serius terhadap Islam.
Katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pula akan mewujudkan satu garis panduan khusus berhubung tayangan filem berkenaan untuk dimajukan kepada KDN dan KPKK kerana ia dikhuatiri menggugat akidah masyarakat terutama umat Islam di negara ini.

“Garis panduan yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat itu akan mengambil kira beberapa aspek tertentu, termasuk ketetapan dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berhubung isu penayangan filem di negeri ini, sebelum ini.

“Selain sebagai panduan bagi pemantauan pihak berkuasa, kita harap ia turut dijadikan pedoman golongan penerbit dalam menghasilkan filem berunsur seram pada masa depan.

“Kita bukannya antiseni atau filem, cuma mahu filem atau seni dihasilkan itu membina tamadun yang mampu berfikir secara waras, bukannya menerapkan pemikiran tahyul bertentangan akidah serta kepercayaan Islam,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Difahamkan, kebimbangan terhadap lambakan filem seram dan cerita hantu terbabit sebahagian daripada ketetapan dicapai melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-5 yang bersidang di Hotel Sri Malaysia, di sini, kelmarin.

Selain itu, turut dipersetujui dalam mesyuarat itu ialah ketetapan berhubung hukum eksploitasi iklan terhadap wanita, hukum ajaran atau fahaman syiah, hukum ruju' dengan jimak serta hukum lafaz talak dua atau tiga dengan satu lafaz.

Juanda berkata, jika lambakan filem hantu dan seram tidak dikawal, tidak mustahil masyarakat Islam negara ini kelak lebih takutkan hantu berbanding Allah.

Mengulas ketetapan berhubung isu eksploitasi wanita melalui iklan pula, beliau mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan satu garis panduan khusus terhadap perkara itu supaya tidak berlaku.

“Islam meletakkan wanita pada tempat tinggi dan tidak sewajarnya mereka dijadikan bahan eksploitasi demi keuntungan pihak tertentu, terutama melalui fenomena pengiklanan kini yang mempamerkan aurat yang terbukti menyalahi syariat Islam,” katanya.

Dipetik dari:  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Filem_dramatahyulberikesannegatif/Article
__________________________________________________

Ahad, 29 Januari 2012

MENGHARAPKAN PERUBAHAN MELALUI PILIHAN RAYA?

Setelah dunia menyaksikan kejatuhan pemimpin diktator Mesir, Hosni Mubarak, kini seluruh dunia mengharapkan satu perubahan yang dinanti-nanti selama ini yang akan merubah landskap politik Mesir melalui sebuah pilihan raya umum yang disifatkan sebagai lebih demokratik. Perkembangan terbaru menyaksikan parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di bawah Ikhwanul Muslimin memenangi 47 peratus daripada kerusi Parlimen baru Mesir. Akhbar melaporkan bahawa Perikatan Demokratik yang diketuai oleh FJP memenangi 235 daripada 498 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya tiga peringkat itu. Ikhwanul Muslimin mencalonkan pegawai kanan dalam partinya, Mohammad Saad al-Katatni untuk menjadi Speaker Parlimen baru. Menduduki tempat kedua ialah parti Al-Nour yang mendapat 25 peratus undi dengan 125 kerusi. Parti-parti yang disifatkan liberal, Al-Wafd dan Blok Mesir ketinggalan dengan masing-masing hanya meraih 14 peratus undi, iaitu kira-kira 69 kerusi.

Sebanyak 21 parti politik gagal memperoleh sekurang-kurangnya 0.5 peratus undi yang diperlukan bagi menghantar wakil ke Parlimen. Para penyokong setia bekas Presiden Hosni Mubarak hanya memenangi tiga peratus daripada kerusi Parlimen. Pilihan raya dewan rendah Parlimen yang telah bermula pada 28 November lalu dan berlangsung selama hampir dua bulan adalah yang pertama di Mesir sejak Mubarak digulingkan dalam pemberontakan rakyat tahun lepas. Pemerintah tentera Mesir, Hussein Tantawi, telah melantik 10 anggota baru ke Parlimen untuk menjadikan jumlah anggotanya 508 orang yang akan memikul tanggungjawab utama memilih sebuah jawatankuasa bagi merangka Perlembagaan baru Mesir. Pilihan raya untuk dewan tertinggi Parlimen atau Majlis Shura dijadual akan diadakan dalam dua peringkat, dengan pengundian berlangsung antara 29 Januari hingga 22 Februari.

Sebenarnya revolusi yang telah berjaya dilakukan oleh umat Islam di negeri para anbiya’ itu menyampaikan satu mesej yang jelas kepada seluruh dunia bahawa perubahan yang dimahukan kaum Muslimin bukanlah sekadar perubahan “kepimpinan” (orang yang memimpin) semata-mata, tetapi perubahan “sistem” daripada sistem kufur yang penuh kekejaman dan penindasan kepada sistem Islam yang penuh keadilan dan keberkatan. Namun sayangnya, setelah Mubarak berjaya ditumbangkan, Barat dalam masa yang sama berjaya ‘merampas’ revolusi dan mengubah haluannya menurut kehendaknya.

Hal ini dilakukan Barat dengan agak mudah kerana kuku Barat masih menancap tajam pada kepimpinan tentera Mesir, yang rata-ratanya adalah orang kuat Mubarak. Dengan berlangsungnya pilihan raya umum Mesir yang pertama setelah tumbangnya Presiden Mubarak, sebahagian rakyat Mesir nampaknya telah berjaya digula-gulakan oleh Barat dengan sebuah pilihan raya atas nama sistem demokrasi. Walaupun tidak semua rakyat Mesir mahukan sistem demokrasi, namun Barat dengan taktik jahatnya berusaha mengabui mata umat Islam dan cuba meyakinkan dunia bahawa rakyat Mesir mahukan sistem demokrasi.

Bukan hanya sekadar memerhatikan proses pilihan raya dari dekat, Barat yang licik itu tidak pernah lekang dalam memerhatikan siapakah “calon” yang bakal memimpin Mesir pasca kepimpinan tentera yang ada sekarang. Barat mempropaganda perubahan Mesir dari pemerintahan diktator kepada pemerintahan demokrasi sekaligus berusaha menaikkan calon yang dilihat oleh umat Islam, lebih demokratik bagi membezakannya dengan Mubarak yang disifatkan sebagai diktator. Hasil penelitian Barat, Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah gerakan yang berpotensi untuk memerintah Mesir ke arah yang lebih demokratik. Maka Barat berusaha menjalin hubungan dengan pimpinan gerakan Islam tersebut dalam rangka memastikan Ikhwanul Muslimin dapat memerintah Mesir dan pada masa yang sama akan terus menjaga hubungan baik dengan Barat. Hasilnya sungguh lumayan bagi Barat apabila FJP setakat ini telah memenangi pilihan raya umum Mesir. Namun begitu, adalah suatu yang sungguh menyayat hati melihat hubungan baik antara FJP dan Amerika kerana sesungguhnya revolusi Mesir yang telah mengorbankan ramai para syuhada dan melibatkan ribuan kaum Muslimin yang berulangkali berkumpul di Medan Tahrir, mereka telah menyatakan ‘tidak’pada Amerika!

Pembohongan Amerika dalam sokongan mereka ke atas sistem demokrasi dan pemimpin yang demokratik adalah amat jelas sekali. Orang buta sekalipun tahu betapa baiknya hubungan di antara Amerika dengan Mubarak, walaupun Mubarak terkenal sebagai seorang pemimpin yang diktator dan zalim. Seluruh dunia juga tahu betapa rapatnya hubungan Amerika dengan Arab Saudi, Jordan, Syria, Yemen dan lain-lain negara Arab walaupun kesemua pemimpin negara tersebut adalah para diktator dan tidak demokratik. Sesungguhnya sokongan Amerika terhadap para pemimpin tersebut bukanlah atas nama demokrasi, tetapi kerana para pemimpin tersebut adalah boneka AS dan boleh memberi kepentingan kepada mereka. Begitu jugalah sokongan yang ditunjukkan oleh negara Uncle Sam itu kepada FJP, bukanlah sebenarnya atas dasar demokrasi sebagaimana yang diwar-warkan, tetapi atas dasar kepentingan yang bakal diraih oleh Amerika dari hubungan tersebut, sama sebagaimana kepentingan yang telah diraih Amerika hasil hubungannya dengan Mubarak sewaktu kekuasaan Mubarak dahulu.

AS cuba mewujudkan ‘suasana demokrasi’ di Mesir bagi menggantikan sistem diktator yang dibenci oleh umat Islam yang dibawa oleh Mubarak selama ini. Walhal bagi AS, tidak ada bezanya di antara pemimpin yang demokratik dan diktator kerana yang penting bagi mereka adalah bahawa pemimpin tersebut (baik demokratik atau diktator) adalah orang yang setia dengan AS. Oleh yang demikian, setelah sekian lama (pasca tumbangnya Mubarak) AS mencipta hubungan baik dengan bakal pemerintah Mesir, maka sudah masanya rakyat Mesir dihidangkan dengan sebuah pesta demokrasi (pilihan raya) yang selama ini tidak dapat ‘dinikmati’ di bawah pemerintahan Mubarak. Pesta ini tidak lain hanyalah sebagai pemula kepada agenda AS dalam membentuk Mesir baru yang ‘demokratik’ di bawah telunjuknya. Setakat ini, pesta demokrasi ini berjalan lancar dengan cara yang cukup disenangi oleh Barat.

Sebagaimana sifat sebuah ‘pesta’, pilihan raya hanyalah luahan aksi kegembiraan yang bersifat sementara. Kegembiraan itu ditandai antara lain dengan banyaknya parti dan ribuan calon yang bertanding, jutaan pelekat, sepanduk dan kain rentang, ramainya wartawan dan pihak media yang membuat liputan, hingar-bingar kempen politik yang berlangsung di sana-sini dengan pelbagai janji dan manifesto masing-masing, beraneka ragam hiburan dan acara bagi menarik orang ramai dan tidak ketinggalan diserikan lagi dengan pelbagai bentuk rasuah, penipuan, hasutan, fitnah-memfitnah, pergaduhan  dan sebagainya yang kesemuanya menghabiskan jutaan wang demi merebut sebuah kerusi.

Namun, atas sifat sebuah pesta juga, maka setelah selesai segala aktiviti kegembiraan tersebut, keadaan akan kembali seperti asal, tidak ada apa-apapun yang berubah. Begitulah dengan pesta pilihan raya ini, tidak ada apa-apapunyang akan berubah setelah pilihan raya,  kecuali calon-calon pemenangnya. Oleh yang demikian, sesiapa sahaja yang terlanjur mempercayaibahawapilihan raya dalam sistem demokrasi boleh menghasilkan perubahan, maka dia hendaklah kembali berfikir dengan jernih akan kebenaran fakta ini. Ini kerana, pilihan raya di dalam sistem demokrasi hanyalah untuk memilih atau menukar orang sahaja, seraya berharap orang yang terpilih itu lebih baik daripada orang yang sebelumnya. Pilihan raya sama sekali tidak akan membawa kepada perubahan sistem, kerana memang ia tidak diwujudkan untuk tujuan tersebut. Dengan kata lain, pilihan raya menafikan perubahan sistem, malah dengan adanya (dilaksanakan) pilihan raya itu sendiri, ia bermaksud sistem yang sedia ada dikekalkan. Berjalannya pilihan raya membawa maksud penduduk negara itu masih tunduk pada sistem yang ada. Telah terlalu kerap kita melihat bagaimana negara-negara di dunia, setelah selesai pilihan raya, sistem yang sama masih lagi berjalan walaupun orang (pemenang)nya berubah. Sistem yang bobrok terus kekal dengan kebobrokannya, malah tidak sedikit dari calon yang baru menang, yang kononnya mahu melakukan perubahan, justeru terus tenggelam di dalam kerosakan sistem yang sedia ada.

Walau jelas di depan mata bahawa pilihan raya tidak pernah dapat merubah sesebuah sistem, namun masih tetap ada segelintir umat Islam yang berusaha untuk memenangkan (menegakkan) Islam melalui pilihan raya. Jika mereka merujuk kepada sejarah sekalipun, mereka akan mendapati bahawa setakat ini belum pernah terjadi penegakan Islam melalui pilihan raya sebagaimana yang mereka dambakan. Dari segi sejarah, Indonesia sebagai contoh,sebagai negara yang mempunyai penduduk Muslim yang terbesar, Masyumi dan Nahdhatul Ulama yang masing-masing memenangi 112 dan 91 kerusi pada pilihan rayatahun 1955, masih tetap tidak dapat memerintah dengan Islam. Masyumi kemudiannya dibubarkan oleh Soekarno pada tahun 1960.

Sejarah yang sama kita saksikan, malah lebih tragis, ke atas FIS di Aljazair. FIS yang menang pada pilihan raya pusingan pertama 1991 dan menguasai 81% kerusi Parlimen, lalu menang besar pada pilihan raya pusingan kedua pada tahun yang sama, akhirnya dibubarkan oleh junta tentera yang disokong oleh Perancis. Hal yang sama juga terjadi pada Hamas di Palestin, yang menjadi pemenang pilihan raya secara demokratis, namun hingga kini Hamas terus terjebak di dalam sistem yang sedia ada dan tidak dapat keluar darinya dan Islam tetap tidak dapat ditegakkan. Begitulah juga keadaannya di Malaysia di mana parti Islam yang bertanding tidak pernah menang di dalam pilihan raya umum kecuali di beberapa negeri, dan apa yang jelas adalah, sistem Islam masih tidak dapat ditegakkan hingga kini. Malah lebih buruk, parti Islam tersebut terus terjebak di dalam pemerintahan sekular, bahkan memerintah bersama dengan orang-orang kafir, suatu hal yang dilarang (haram) secara nyata di dalam Islam. Ringkasnya, di mana sahaja negara umat Islam yang mengamalkan pilihan raya demokrasi, umat Islam tidak pernah dapat menegakkan Islam. Ini kerana di dalam sistem demokrasi, manusialah yang membuat undang-undang dengan mengambil hak Allah sebagai Pembuat undang-undang.

Justeru itu, mengharapkan terjadinya perubahan, apalagi kemenangan Islam, melalui pilihan raya di bawah sistem demokrasi adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku, malah hakikatnya, boleh membawa umat semakin jauh dari Islam. Sungguh rugilah umat Islam yang terus-menerus berharap pada sesuatu yang tidak dapat mereka capai walhal ada jalan lain yang benar yang seharusnya mereka tempuhi. Potensi atau usaha mereka seharusnya dikerahkan untuk mengikuti jalan tersebut, yang berdasarkan wahyu dan bukannya jalan demokrasi Barat. Hanya jalan ini sahajalah -yakni jalan wahyu yang pernah ditempuh oleh Rasulullah SAW- yang akan pasti memberikan kejayaan dalam melakukan perubahan. Bangsa Arab yang Jahiliyyah ternyata berjaya diubah oleh Rasulullah SAW menjadi bangsa yang memimpin dunia atas nama Islam, dengan jalan berdasarkan wahyu ini. Islam terus memimpin dunia dengan sebuah peradaban yang agung sehinggalah pemerintahan Islam (Khilafah) berjaya dihancurkan oleh Barat melalui pengkhianatan Mustafa Kamal Attartuk laknatullah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924).

Setelah hancurnya pemerintahan Khilafah dari pentas dunia, umat Islam dibius oleh Barat dengan sistem demokrasi sehingga umat Islam terus lemah, berpecah dan tidak lagi nampak jalan yang lurus (jalan wahyu) untuk mengembalikan kekuatan dan kemuliaan mereka. Umat Islam terus-menerus disodorkan oleh Barat bahawa tidak ada jalan lain untuk melakukan pertukaran pemimpin kecuali melalui jalan pilihan raya demokratik. Sehinggalah saat terjadinya revolusi di Tunisia, Mesir dan Libya di mana umat Islam berjaya menggulingkan pemerintah masing-masing tanpa pilihan raya, Barat tetap terus berusaha bersungguh-sungguh untuk ‘merampas’ revolusi dan setelah berjaya merampasnya, Barat lalu tanpa berlengah terus melaungkan perubahan melalui jalan pilihan raya.

Inilah yang berlaku di Mesir sekarang di mana umat Islam terus‘diperbodohkan’ oleh Barat dengan pilihan raya, walhal hakikatnya umat Islam sebelum itu telah berjaya melakukan perubahan dengan menumbangkan pemerintahan diktator dengan sebuah revolusi (bukan melalui pilihan raya). Dengan kata lain, Barat sekali lagi berjaya menyodorkan “pilihan raya” sebagai jalan perubahan untuk umat Islam. Walhal hakikatnya pilihan raya tidak pernah dan tidak akan pernah membawa apa-apa perubahan, kecuali ‘perubahan’ yang diingini oleh Barat sahaja. Maka sungguh malang apabila kita melihat segelintir umat Islam terperangkap di dalam agenda Barat ini. Menggantungkan harapan terjadinya perubahan hakiki melalui pilihan raya di bawah sistem demokrasi hanyalah akan mendatangkan kekecewaan demi kekecewaan bagi umat Islam. Fakta yang terjadi di negeri-negeri kaum Muslimin selama ini sudah membuktikan hal itu. Kerana itu, tidak layak bagi satu umat yang mulia untuk menaruh harapan kepada sebuah sistem yang hina seperti demokrasi.

Satu-satunya jalan untuk mencapai perubahan yang hakiki di dalam usaha untuk menegakkan Islam secara kaffah (menyeluruh) hanya boleh dilakukan melalui thariqah (method) dakwah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT,

Sesungguhnya (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kalian mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan lain itu mencerai-beraikan kalian dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepada kalian agar kalian bertakwa” [TMQ al-An’am (6):153].

Rasulullah SAW tidak pernah menunjukkan bahawa jalan menuju perubahan adalah melalui pilihan raya atau menyertai sistem Jahiliyyah. Rasulullah SAW malah berusaha untuk menghapuskan sistem Jahiliyyah, bukannya bergabung di dalamnya. Bermula dari perubahan pemikiran (dari pemikiran kufur kepada pemikian Islam), seterusnya membentuk sebuah kutlah (kelompok) dakwah, lalu melakukan kifahu siyasi (perjuangan politik) dan dikuti dengan thalabun nusrah (mencari pertolongan) untuk mendapatkan kekuasaan dari ahlul quwwah (golongan yang memiliki kekuatan) khususnya kekuatan perang, Rasulullah SAW kemudian berhijrah ke Madinah dan berjaya mewujudkan sebuah Negara Islam. Dari sanalah bermulanya penerapan Islam secara kaffah, lalu tersebar pula ke seluruh alam dengan jalan dakwah dan jihad, menjadikan kaum Muslimin umat yang mulia dan terbaik. Inilah jalan perubahan yang dituntut oleh Islam yakni jalan lurus yang berdasarkan wahyu, bukannya jalan yang didasarkan kepada akal, apatah lagi jalan yang diajar oleh penjajah seperti jalan demokrasi.

Khatimah

Sesungguhnya perubahan hakiki yang diperlukan oleh umat Islam adalah perubahan sistem, bukannya perubahan orang/pemimpin. Dunia Islam khususnya dan seluruh dunia amnya, amat memerlukan sebuah sistem alternatifyang dapat menyelamatkan umat manusia dari kesengsaraan. Tidak ada sistem yang dapat memenuhi tuntutan tersebut kecuali sistem yang datangnya dari wahyu. Sistem ini tidak lain adalah sistem Khilafah dan bukannya sistem demokrasi, autokrasi, teokrasi, monarki dan sebagainya.Inilah jalan baru yang diperlukan oleh umat Islam, termasuk di Malaysia waktu ini. Jalan inilah yang akan dapat mengubah wajah dunia yang didominasi oleh kezaliman dan kekacauan menjadi wajah dunia yang penuh keadilan dan kesejahteraan. Jalan inilah yang telah dirintis oleh Hizbut Tahrir sejak tahun 1953, yang bermula di Al-Quds, Palestin sehingga telah melebar ke seluruh benua, dari bahagian timur hingga ke barat dunia. Umat Islam kini mulai sedar bahawa mereka memerlukan sistem Khilafah dan bukannya sistem demokrasi. Yang menjadi masalah adalah wujudnya segelintir pemimpin umat hari ini yang masih bersahabat dan sentiasa melutut kepada kuffar Barat dan menjadi pengkhianat Islam, yang oleh kerana itu, Barat masih berjaya mencengkam umat Islam dengan sistem demokrasi kufurnya. Namun, barisan pemimpin pengkhianat ini mula tersungkur satu demi satu dan kemenangan Islam dengan sistem Khilafah itu sebenarnya sudah semakin hampir hari demi hari. Sesungguhnya apabila tibanya hari kemenangan, “Pada saat itulah, hati seluruh kaum Mukmin akan bergembira kerana pertolongan Allah” [TMQ ar-Rum (30):4-5].

Dipetik dari:  http://www.mykhilafah.com

Rabu, 25 Januari 2012

Hukum Sambutan Tahun Baru Cina

Terdapat sebahagian daripada masyarakat Muslim yang mengatakan bahawa menyambut Tahun Baru Cina itu hanyalah suatu adat tradisi semata-mata dan ia tidak termasuk sebahagian daripada mana-mana ajaran agama tertentu. Dengan hujah tersebut, umat Islam khususnya yang beretnik Tionghua dianggap boleh untuk meraikan Tahun Baru Cina. Persoalannya, benarkah Tahun Baru Cina hanya merupakan adat tradisi semata-mat dan adakah umat Islam dibolehkan untuk meraikannya? Penulisan ini bertujuan  untuk merungkai persoalan ini agar kita mendapat gambaran yang jelas tentang latar belakang sambutan Tahun Baru Cina serta pandangan hukum syarak ke atas perkara tersebut.

Ajaran Agama Konfusianisme, Bukan Sekadar Adat Tradisi Tionghua

Kita sering mendengar daripada kalangan kaum Tionghua termasuk tokoh-tokoh yang telah memeluk Islam bahawa sambutan Tahun Baru Cina ini adalah sekadar adat tradisi semata-mata dan ia tidak  mempunyai kaitan dengan ajaran sesuatu agama.
Oleh itu, umat Islam dianggap boleh untuk turut serta dalam merayakannya. Jika kita benar-benar mendalami ajaran agama Konfusianisme, khususnya tentang sambutan perayaan-perayaan mereka, maka akan terbukti bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar. Ini adalah kerana sambutan Tahun Baru Cina adalah merupakan sebahagian daripada ajaran agama Konfusianisme yang tidak dapat dipisahkan dan ia bukannya adat tradisi semata-mata.

Dalam sebuah buku karangan penganut Konfusianisme, Dr. Hendrik Agus Winarso yang berjudul 'Mengenal Hari Raya Konfusian' (Semarang : Effhar & Dahara Prize, 2003) hal. vi-vii, ia menyatakan bahawa kebanyakan masyarakat kurang memahami Hari Raya Konfusianisme. Beliau memberi contoh, “Misalnya Tahun Baru Cina yang dianggap sebagai tradisi orang Tionghua.” Oleh yang demikian, pandangan yang mengatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah sekadar adat tradisi dan tidak ada hubung kait dengan agama adalah suatu kesalahfahaman, menurut penulis berkenaan (Ibid., hal. v).

Dalam buku tersebut, Dr. Hendrik telah membuktikan dengan meyakinkan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah sebahagian daripada ajaran Konfusianisme. Dr. Hendrik menerangkan, Tahun Baru Cina atau dikenali juga sebagai Sin Cia, merupakan suatu momentum untuk memperbaharui diri. Momentum ini dinyatakan dalam salah sebuah kitab suci Konfusianisme iaitu kitab Lee Ki, bahagian Gwat Ling, yang berbunyi :

“Hari permulaan tahun (Liep Chun) jadikanlah sebagai Hari Agung untuk bersembahyang besar ke hadrat Thian, kerana Maha Besar Kebajikan Thian. Dilihat tiada nampak, didengar tiada dengar, namun tiap yang wujud tiada yang tanpa Dia… (Tiong Yong XV : 1-5).
(Lihat Hendrik Agus Winarso, Mengenal Hari Raya Konfusian, [Semarang : Effhar & Dahara Prize, 2003], hal. 60-61).

Penulis tersebut telah membuat membuat kesimpulan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah merupakan sebahagian daripada ajaran Konfusianisme. Beliau mengatakan bahawa:

“Dengan demikian, menyambut Tahun Baru bagi umat Konfusianisme Indonesia mempunyai erti ketakwaan dan keimanan.” (ibid., hal. 61).

Maka oleh itu adalah tidak benar pendapat-pendapat yang menyatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah hanya sekadar adat tradisi orang Tionghua semata-mata dan ia bukan perayaan agama. Sedangkan hakikatnya, ia adalah sebahagian daripada ajaran agama Konfusianisme.

Selain itu, sebagai seorang Muslim, kayu ukur untuk melihat sama ada boleh atau pun tidak untuk melakukan sesuatu perkara bukanlah dilihat dari segi agama atau tradisi. Sebahagian umat beranggapan, jika ia berasal daripada adat tradisi, adalah tidak mengapa dan boleh untuk diamalkan. Tetapi jika ia berasal daripada agama lain, maka ia tidak boleh. Sesungguhnya kayu ukur sebegini adalah batil dan tidak boleh diguna pakai dalam Islam. Dalam Islam, satu-satunya kayu ukur yang benar adalah Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata. Firman Allah SWT:

 “Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain daripadaNya.[TMQ Al-A’raaf (7) : 3]

Kalimat “maa unzila ilaikum min rabbikum” (apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu), adalah merujuk kepada Al-Qur`an dan As-Sunnah. (Tafsir Al-Baidhawi, [Beirut : Dar Shaadir], Juz III/2). Maka, kayu ukur sesuatu perbuatan sama ada boleh ataupun tidak boleh untuk dilakukan adalah Al-Qur`an dan As-Sunnah. Apa sahaja yang benar menurut Al-Quran dan As-Sunnah, bererti ia boleh dilakukan. Sebaliknya, apa sahaja yang batil menurut Al-Quran dan As-Sunnah, bererti ia tidak boleh untuk dilakukan.

Oleh yang demikian, jika kita hendak menilai perbuatan kaum Muslimin yang turut serta dalam merayakan Tahun Baru Cina menurut Islam, maka tolok ukurnya haruslah benar. Kita perlu melihat adakah perbuatan tersebut boleh atau pun tidak menurut Al-Quran dan As-Sunnah, dan bukannya melihat sama ada aadakah ia daripada tradisi ataupun daripada ajaran agama. Jika kita menggunakan kayu ukur tradisi atau agama dalam membuat penilaian, maka kita akan tersesat. Bukan semua tradisi  adalah benar. Ada yang bertentangan dengan Islam dan ada bersesuaian dengan Islam.

Sebagai contoh, amalan seks bebas atau seks di luar nikah adalah tradisi masyarakat Kristian Barat, sedangkan perbuatan jijik tersebut bukan sebahagian daripada ajaran agama Kristian/Katholik. Malah agama Kristian pun turut mengharamkan zina. Jadi, adakah disebabkan seks bebas atau seks di luar nikah itu merupakan suatu tradisi dan bukan daripada ajaran agama, maka umat Islam pun boleh turut serta melakukannya? Tentu sekali tidak boleh.

Marilah kita kembali menggunakan kayu ukur yang benar untuk menilai sesuatu perbuatan. Kayu ukurnya bukan dilihat dari segi asal usulnya sama ada sesuatu perbuatan itu datangnya daripada tradisi ataupun agama. Sebaliknya melihat dari segi sama ada boleh ataupun tidak perbuatan tersebut menurut Al-Quran dan As-Sunnah. Inilah satu-satunya pandangan yang haq dan tidak ada lagi yang lain.

Haram Bagi Muslim Turut Serta Meraikan Tahun Baru Cina


Jika dikaji berdasarkan dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah, maka adalah haram hukumnya bagi seseorang Muslim untuk turut serta dalam merayakan hari raya agama lain, termasuklah Tahun Baru Cina, tidak kira sama ada dengan mengikuti ritual agamanya ataupun tidak, termasuk juga memberi ucapan Gong Xi Fatt Chai. Kesemuanya adalah haram.

Imam Suyuthi berkata, “Juga termasuk perbuatan mungkar, iaitu turut serta merayakan hari raya orang Yahudi, hari raya orang-orang kafir, hari raya selain orang Arab [yang tidak Islami], ataupun hari raya orang-orang Arab yang tersesat. Orang Muslim tidak boleh melakukan perbuatan tersebut kerana perkara itu akan membawa mereka ke jurang kemungkaran…” (Imam Suyuthi, Al-Amru bi Al-Ittiba’ wa An-Nahyu ‘An Al-Ibtida` (terj.), hal. 91).

Khusus tentang memberi ucapan “selamat” terhadap sambutan agama lain, Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah berkata, “Adapun memberi ucapan selamat yang berkaitan syiar-syiar kekufuran yang menjadi ciri khas kaum kafir, hukumnya adalah haram menurut kesepakatan ulama', misalnya memberi ucapan selamat atas hari raya atau puasa mereka...” (Ahkam Ahli Adz-Dzimmah, [Beirut : Darul Kutub Al-'Ilmiyah], 1995, Juz I/162).

Dalil Al-Quran yang mengharamkan perbuatan kaum Muslimin untuk merayakan hari raya agama kafir adalah melalui firman Allah SWT :

“Dan (hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu adalah) orang-orang yang tidak menghadiri kebohongan…” [TMQ Al-Furqan (25) : 72].

Menurut Imam Ibnu Taimiyah, makna yang tepat bagi kalimat “laa yashhaduuna az-zuur” dalam ayat tersebut adalah tidak menghadiri kebohongan (az-zuur), dan bukannya memberi kesaksian palsu. Dalam bahasa Arab, memberi kesaksian palsu diungkapkan dengan kalimat yashhaduuna bi az-zuur, yakni terdapat tambahan huruf jar yang dibaca bi. Maka ayat di atas yang berbunyi “laa yashhaduuna az-zuur” yang lebih tepat adalah bermaksud “tidak menghadiri kebohongan”, dan bukannya    “memberi kesaksian palsu.” (M. Bin Ali Adh-Dhabi’i, Mukhtarat min Kitab Iqtidha` Shirathal Mustaqim Mukhalafati Ash-habil Jahim (terj.), hal. 59-60)

Manakala kata “az-zuur” (kebohongan) itu sendiri, menurut sebahagian tabi’in seperti Mujahid, adh-Dhahak, Rabi’ bin Anas dan Ikrimah adalah hari-hari kebesaran kaum Musyrik atau kaum jahiliyah sebelum Islam (Imam Suyuthi, Al-Amru bi Al-Ittiba’ wa An-Nahyu ‘An Al-Ibtida` (terj.), hal. 91-95).

Maka ayat di atas adalah dalil kepada haramnya bagi seseorang Muslim untuk merayakan hari raya agama lain seperti hari Natal, Wesak, Deepavali, Tahun Baru Cina dan sebagainya.

Imam Suyuthi juga berdalil dengan dua ayat lain sebagai dasar pengharaman bagi Muslim untuk turut serta merayakan hari raya agama lain (Lihat Imam Suyuthi, ibid., hal. 92). Salah satu daripadanya adalah ayat :

“Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah datangnya ilmu (kebenaran) kepadamu, sesungguhnya jika demikian kamu termasuk golongan orang-orang yang zalim.” [TMQ Al-Baqarah (2) : 145].

Menurut Imam Suyuthi, larangan pada ayat di atas bukan hanya khusus kepada Nabi SAW, tetapi juga merangkumi umat Islam secara umum. Larangan tersebut adalah larangan untuk melakukan perbuatan sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang bodoh atau orang kafir (seperti merayakan hari raya mereka). Walhal yang mereka lakukan itu bukanlah perbuatan yang diredhai oleh Allah dan RasulNya (Lihat Imam Suyuthi, ibid., hal. 92).

Adapun dalil daripada As-Sunnah, hadis daripada Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dalam golongan mereka.(HR Abu Dawud).

Dalam hadis ini, Islam telah mengharamkan kaum Muslimin untuk menyerupakan atau menyamakan diri mereka dengan kaum kafir dalam perkara-perkara yang menjadi ciri khas bagi kekafiran mereka, seperti perayaan hari raya mereka. Oleh itu, adalah haram hukumnya seseorang Muslim untuk turut serta merayakan hari raya agama lain (Lihat Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Penjelasan Tuntas Hukum Seputar Perayaan, [Solo : Pustaka Al-Ummat], 2006, hal. 76).

Berdasarkan kajian fakta dan dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah yang telah dinyatakan di atas, adalah jelas bahawa haram hukumnya bagi seseorang Muslim untuk merayakan Tahun Baru Cina dalam segala bentuk dan juga manifestasinya. Haram bagi kaum Muslimin untuk terikut-ikut dalam mengucapkan Gong Xi Fatt Chai kepada kaum Tionghua, begitu juga haram bagi Muslim untuk menghiasi rumah atau biliknya dengan tanglung khas Cina atau hiasan naga dan pelbagai aksesori lain yang serba merah, kerana itu semua mempunyai kepercayaan tertentu dalam agama tersebut. Haram juga untuk mengadakan pelbagai jenis pertunjukan untuk meraikan Tahun Baru Cina seperti live band, karaoke mandarin dan lain-lain. Semua bentuk perbuatan tersebut haram dilakukan oleh Muslim kerana ia termasuk dalam perbuatan merayakan hari raya agama kafir yang telah diharamkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Seruan Kepada Muslim Etnik Tionghua

Akhir sekali, kami ingin menyeru saudara-saudara kami dari kalangan etnik Tionghua, hendaklah  kalian masuk ke dalam agama Islam secara keseluruhannya (kaffah). Janganlah kalian (semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kalian semua) mengikuti jejak langkah syaitan, yakni masuk ke dalam agama Islam namun pada masa yang sama masih lagi mempertahankan sebahagian daripada ajaran lama yang dahulunya pernah kalian anuti dan amalkan, seperti perayaan Tahun Baru Cina. Renungilah firman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (keseluruhannya), dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”
[TMQ Al-Baqarah (2) : 208]

Wallahua’lam bissawab.\
Dipetik dari : http://www.mykhilafah.com

Jumaat, 20 Mei 2011

Teknologi Yang Merugikan Umat Islam

Teknologi moden dan canggih dikatakan banyak membantu umat Islam dalam kehidupan harian dan dalam penyebaran dakwah Islam kepada masyarakat.
Sebaliknya ramai yang tidak menyedari, teknologi yang dikatakan banyak membantu itu sebenarnya banyak juga yang merugikan umat Islam.

Contoh : Sistem Pembesar Suara.

Banyak digunakan di masjid² atau surau² bagi tujuan azan, kuliah atau khutbah. Alat pembesar suara dikatakan bermanafaat bila azan dapat didengari dari jarak yang lebih jauh dan lebih kuat .

Apa yang rugi?

Rasulullah mengajar, apabila hendak melaungkan azan, muazzin disunatkan naiklah ke tempat yang tinggi dan disunatkan pula bila azan, memalingkan ke kanan dan ke kiri supaya azan dapat didengari  dari semua arah.
Bila alat pembesar suara digunakan, muazzin hanya melaungkan azan di  sebuah bilik kecil dalam masjid atau surau tanpa perlu ke tempat tinggi. Muazzin telah terlepas pahala sunat dalam perkara melaungkan azan tadi.

Kemudian, Imam memimpin solat jemaah dengan memakai alat mikrofon dan setiap bacaan  Imam dapat didengari dengan lantang di setiap penjuru masjid, malah hingga ke luar masjid pun dapat didengari .

Selepas itu, giliran ustaz pula untuk menyampaikan kuliah. Ustaz pun menggunakan alat mikrofon juga semasa menyampaikan kuliah dan kuliah ustaz dapat didengari di seluruh ruang masjid hinggalah ke luar masjid pun dapat didengari kuliah ustaz. Bila kuliah dapat didengari dimana saja, ahli jemaah boleh mengikuti kuliah ustaz di mana saja, di sudut belakang masjid, di tangga masjid, hatta di tempat meletak kereta sekali pun masih dapat ikuti kuliah ustaz.

Apa yang rugi?

Dalam menuntut Ilmu, antara adab² menuntut ilmu malah sunat dilakukan adalah murid² duduk hampir dengan guru atau ustaz. Bila pembesar suara digunakan, adab² tersebut tidak lagi dipraktikkan, maka tiadalah pahala sunat yang diperoleh kerana meninggalkan sunat² ketika menuntut ilmu.
Kemudian, jika ketika kuliah sedang berlangsung, datang para² musafir singgah untuk menunaikan solat, maka akan terganggulah solat si musafir dengan suara kuat dari kuliah ustaz tersebut.
Seandainya pembesar suara tidak digunakan, ahli jemaah akan mendekati ustaz untuk mendengar kuliah dan terjagalah adab² menuntut ilmu dengan sendirinya serta berkatlah majlis ilmu tersebut bila adab² menuntut ilmu dipatuhi. Manakala si musafir pula dapat solat di sudut belakang masjid dengan aman tanpa gangguan kuliah ustaz.

Wallahua'lam

Sabtu, 24 April 2010

KULIAH MAGHRIB DI RADIO

Pada suatu malam, hari Isnin malam Selasa, saya memandu berseorangan ke satu destinasi sejauh 25 km dari rumah. Dalam perjalanan tu, saya ikuti kuliah maghrib dari sebuah masjid negeri secara langsung di radio.
Ustaz yang menyampaikan kuliah pada malam itu saya panggil aje Ustaz 'Z'. Apa yang menarik perhatian saya adalah Ustaz 'Z' mengatakan amalan tergopoh gapah adalah tergolong dalam amalan syaitan.
Ok lah tu.

Kemudian Ustaz 'Z' kata lagi, ada juga sifat gopoh gapah yang diharuskan oleh Agama, sebagai contoh, apabila masuk waktu solat, kita disuruh solat segera. Dan solat segera itu, kata Ustaz 'Z' adalah perbuatan gopoh gapah yang diharuskan oleh syarak. MasyaAllah !
Saya menggeleng kepala dan berkata sendirian, "Apalah Ustaz 'Z' ni, menyegerakan solat dikatakan tergopoh gapah".
Sedangkan menyegerakan solat itu bukanlah diharuskan tetapi disunatkan.

Dalam hal Solat, apabila masuk waktu sahaja, kita disuruh menyegerakan solat. Kalau kebiasaan kita solat 4 rakaat mengambil masa 6 minit (sebagai contoh), maka kita solat awal waktu pun, kita tetap juga mengambil masa 6 minit untuk menunaikan solat 4 rakaat tersebut.
Kalau kebiasaan kita solat 6 minit, tiba-tiba kita solat dalam masa 3 minit sahaja, itu baru dikatakan tergopoh gapah.

Jadi teramat hairanlah pada pemikiran saya, macam mana seorang Ustaz yang menyampaikan kuliah di masjid negeri boleh menafsirkan menyegerakan solat sebagai tergopoh gapah.

walLahua'lam