
Ini banjir punya cerita. Tapi ini bukan cerita banjir versi suratkhabar atau berita TV. Ini cerita dari orang yang benar-benar menjadi mangsa banjir di Kuantan baru-baru ni. Dan kisah sebenar begini memang tidak layak untuk disiarkan dalam TV atau suratkhabar di Malaysia. Kalau ada jurugambar media atau wartawan yang berani melapurkan berita banjir sejujur ini, nescaya hayat kerjayanya sebagai pemberita tidak panjang.
Banjir  bukanlah suatu bencana
 alam, tetapi adalah suatu acara bersukaria.  Pesta mengarung air! 
Begitu anggapan aku dulu. Lepas tu, timbul anggapan  baru, iaitu, banjir
 ialah jalanraya kena tutup sebab ada air atas  jalan, dan ada yang kena
 pindah rumah. Kemudian, datang lagi anggapan  baru sejak banjir besar 
di Sungai Isap tahun 2001 dulu, iaitu banjir  ialah kena pindah dan kena
 selamatkan kereta dan barang-barang rumah.
 
Tidak ada apa yang susahnya. Kalau kena pindah, pindah sajalah. 
Kerajaan  kita memang terbaik dalam sejarah dunia. Bertuahnya kita hidup
 di bumi  Malaysia yang mempunyai rakyat yang pemurah dan mempunyai 
pemimpin yang  begitu prihatin dengan masalah rakyat.
Banjir tu air je pun, bukannya api! Apa nak susah.... bukannya hangus  
terbakar pun kena banjir, habis kuat pun basah je, lebih-lebih pun  
lemas, kereta tenggelam, barang rumah semua punah jahanam, itu je.
Setiap kali banjir melanda, kita tengok tv, kita baca suratkhabar, oh  
alangkah seronoknya kalau kena banjir...! Macam family day je.... Macam 
 pergi berkelah je! Ada acara masak-masak, yang datang memerah keringat 
 untuk tolong masak bukan koman-koman punya orang. Ada bini raja, ada  
bini menteri, bini orang besar dan ternama, orang berpangkat dan yang  
kaya-raya semua mencemar duli sanggup turun padang tolong masak. Lepas  
itu ditunjukkan pula gambar bagaimana mangsa-mangsa banjir begitu ceria 
 dan bermuka galak sekali beratur untuk mengambil makanan.... bini-bini 
 orang besar, ataupun orang-orang bini besar, semua berebut-rebut untuk 
 tolong sendukkan nasi dan cedokkan lauk ke dalam pinggan atau tray  
rakyat kelas bawahan yang rumah mereka tengah tenggelam dalam air  
banjir.
Parti-parti politik, pertubuhan itu persatuan ini, NGO itu IPTA ini,  
semuanya berlumba-lumba untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan.  
Diumumkan di media massa pihak ini derma berapa juta pihak sana nak  
derma berapa juta, bahkan ketua wanita UMNO berkobar-kobar melaungkan  
betapa prihatinnya PM dan TPM kita...! Hari ini PM pergi Kuantan,  
esoknya TPM pergi ke Kemaman pulak!!! Wow! Semata-mata nak melawat msa  
banjir!! Huh, mana mau cari PM dan TPM negara lain dalam dunia ni yang  
sanggup pergi ke tempat pemindahan banjir macam tu?? Susah nak ungkapkan
  dengan perkataan betapa bertuahnya parti melayu kerana mempunyai  
seorang Ketua Pergerakan Wanita setaraf itu.
Kemudian ditunjukkan juga betapa trak, lori, van, semuanya  
berbaris-baris masuk ke pusat penempatan banjir untuk menghantar  
sumbangan itu dan bantuan ini.... Jadi, apa masalahnya dengan banjir?  
Apa susahnya bila rumah kena banjir? Bantuan dan sumbangan yang diterima
  oleh setiap mangsa banjir adalah tiga belas kali ganda nilainya dari  
nilai kerugian yang dialami akibat banjir. Itu kalau berdasarkan kepada 
 pengumuman pihak itu dan ini yang akan memberi sumbangan sekian-sekian 
 juta, maka bila dicampurkan keseluruhan sumbangan itu, jumlahnya 25 
juta  sedangkan mangsa banjir cuma 40,000 orang. Kalau dicongak purata 
satu  rumah ada 4 orang, maknanya 40,000 orang itu mewakili 10,000 buah 
rumah.  Jadi, bukankah bila diagihkan, mangsa banjir akan dapat 
sumbangan  bernilai beberapa ratus ribu ringgit setiap rumah....? Tak 
bertuah ke  tu...!!
Tapi semua itu cerita banjir dalam tv dan suratkhabar. Wartawan dan  
jurugambar tidak sampai ke tempat banjir selagi Sultan atau Bapak  
menteri tak datang. Mereka lebih berminat untuk melapurkan lawatan  
orang-orang besar sahaja, daripada melapurkan malapetaka banjir dan  
keadaan mangsa. Jurugambar hanya sibuk merakamkan gambar  
'kemurahan-hati' menteri dari merakamkan gambar 'kegundahan-hati' rakyat
  yang ditimpa musibah banjir. Dalam suratkhabar sibuk menceritakan  
kebaikan-hati menteri, dalam tv hanya sibuk merakamkan gambar yang  
lawa-lawa dan yang cantik-cantik yang mengiringi Datuk Paduka Raja  
melawat pusat banjir.
Tahukah anda.... bahawa banjir bukan begitu sebenarnya. Bukan seperti  
mana yang digambarkan dalam media massa. Aku ceritakan beberapa kisah  
dari seribu satu cerita tentang banjir yang menimpa.... dan kisah-kisah 
 begini tidak akan dapat dibaca dalam mana-mana suratkhabar dan tidak  
akan dapat ditonton di kaca tv, sekurang-kurangnya kita dapat gambaran  
sebenar tentang kejadian yang berlaku. 
Bayangkan.... air memenuhi dan menenggelamkan hampir 95 peratus tanah  
daratan di Kampung Pandan, Bukit Rangin, Permatang Badak, Isap Damai,  
Isap Perdana, Isap Satu, Isap Dua, Isap Jaya, Taman Murni, Kampung  
Sungai Isap, Taman Sepakat, Kampung Kurnia, Rumah Murah Batu 3, Kampung 
 Razali, Kg SC, Taman Guru, Taman Putra Putri, Inderapura, Kg Teluk  
Mahang, dll....... Ini yang airnya bersambung menjadi satu....  
seolah-olah satu tasik yang luas.
Saban tahun, bila masuk saja bulan Oktober, maka berebut-rebutlah semua
  jabatan dan agensi kerajaan melaungkan kepada dunia bahawa mereka 
telah  bersiap-sedia menghadapi banjir. Apa yang disiap-sediakan, aku 
pun tak  tahu.
Ada satu sekolah, iaitu SK XYZ, dan sekolah ini tidak termasuk dalam  
senarai sebagai pusat perpindahan banjir. Bila banjir berlaku secara  
mengejut, para penduduk berdekatan segera ke sekolah tersebut. Orang  
kecik, pangkat rendah, manalah mereka tahu senarai tak senarainya....  
mereka pindah untuk menyelamatkan nyawa...! mana ada masa nak pergi  
check dulu sekolah mana ada nama sekolah mana tak ada dalam senarai....!
Di tingkat bawah memang dipenuhi air, dan para mangsa banjir terpaksa  
tinggal di dalam bilik darjah di tingkat 1, tingkat 2, dan tingkat 3.  
Permohonan diajukan kepada pihak berkuasa yang terbabit, mohon bantuan  
makanan dan minuman. Tetapi jawapan yang diterima.... sekolah ini tidak 
 ada dalam senarai pusat penempatan banjir yang telah ditetapkan, jadi  
tidak ada sebarang bantuan dapat disalurkan ke situ!!! Dua hari mangsa  
banjir di situ tak ada makanan! Satu orang petugas dari jabatan atau  
agensi berkaitan pun tidak ada di sekolah itu. Mereka bukan mintak  
bantal dan selimut, tak mintak kelambu dan ubat nyamuk.... tak mintak  
ubat gigi dan syampoo, tidak! Mereka cuma mahu makan. Anak-bini mereka  
lapar. Mak ayah mereka yang dah tua pun lapar. Tapi....? Ya lah, sekolah
  itu bukan termasuk senarai.... Agaknya takut berdosa besar kalau bagi 
 makan kepada mangsa di pusat perpindahan haram macam tu.
Sebagai usaha terakhir, mangsa-mangsa banjir itu masing-masing pakat  
menderma sesama sendiri, ada yang bagi 50 ringgit, ada yang bagi 10, ada
  yang bagi 200, sehingga jumlah yang terkumpul sampai beribu-ribu  
ringgit! Untuk dibeli makanan...! nak beli roti, biskut, dan maggi  
je.... (beras dan lauk memang tak beli lah, sebab dapur pun tak ada)....
  tapi, semua jalan tersekat oleh air. Banyak kedai yang tutup. Tak ada 
 nilai duit ribu-ribu dalam keadaan seperti itu.
Kita tengok pula keadaan di sk abc dan smk def.... penduduk mula  
berpindah ke sekolah sejak hari Senin dan Selasa.... kemuncak banjir  
ialah Rabu dan Khamis.... Sepanjang proses berpindah selama 2-3 hari  
pertama itu, tidak ada satu bantuan pun baik berupa lori trak atau bot  
dari sebarang jabatan kerajaan atau agensi kerajaan untuk mengambil,  
membawa, dan menghantar ke pusat perpindahan... tidak ada! Kecuali 2-3  
buah bot milik persendirian. Penduduk samada lelaki, perempuan, tua,  
muda, kanak-kanak, semuanya kena pergi sendiri, tanpa sebarang makluman 
 dari pihak berkuasa, tanpa sebarang bantuan, semua mangsa banjir  
terpaksa meredah air sendiri-sendiri, ada yang mengharung air separas  
pinggang, ada yang separas dada, bahkan ada yang separas leher.... (utk 
 makluman, air banjir arusnya cukup deras... jangan ingat macam air  
kolam).
Ada seorang kakak, baru buat operation tujuh hari.... dia takut nak  
mengharung air (masa tu paras air atas jalan dah paras perut)....  
last-last, suami dia dukung dia berjalan dalam air masuk ke kawasan  
sekolah. Ada tv suratkhabar nak lapur kejadian tak glamour macam ni...? 
 nak lapur macam mana, semua wartawan tengah berkumpul di pwtc masa tu.
Kita tengok tv, mangsa banjir makan sedap, ork? Beratur molek je  
masing-masing nak ambik nasi.... sorang-sorang pegang pinggan dengan  
muka senyum je.... ada orang tukang cedok..... masing-masing tadah je  
pinggan, lepas tadah nasi, tadah lauk pulak, lepas tu sayur pulak....  
teringat zaman duduk asrama masa sekolah dulu.
Biar aku cerita kisah banjir yang tak masuk tv dan tak keluar dalam  
suratkhabar. Ini keadaan sebenar yang berlaku. Lebih dari separuh dari  
beribu-ribu mangsa banjir di dua pusat perpindahan yang terletak  
sebelah-menyebelah itu yang tak dapat makan walau sebutir nasi pun dalam
  masa dua hari kemuncak kejadian banjir itu. Beratur panjang-panjang,  
rupanya bila sampai giliran kita, pinggan polistrin pulak habis.... ada 
 yang sempat dapat pinggan polistrin, beratur-beratur, nasi pulak  
habis.... ada yang dapat nasi, lauk pulak habis.
Pernah terfikirkah kita, ada yang ambik tin sardin yang telah kosong,  
(masih ada saki-baki kuah sardin yang melekat dalam tin)... untuk  
dijadikan gelas dan diisikan air kopi o.... bayangkan! Terpaksa minum  
kopi dalam tin sardin! Itu yang dapat minum tu.... lebih separuh lagi  
yang nasib lebih malang dari dia, tak merasa minum kopi o pun....  
kebanyakannya kenyang dengan meneguk air liur sendiri je.
Ada yang tadah biskut dengan baju.... ada yang tadah nasi atas 
kotak...!  Dah kalu dok, langsung tak boleh makan.... kotak tu pun jumpa
 atas  lantai... entah berapa ratus tapak selipar dah yang pijak.....  
dikoyakkan agak-agak sebesar pinggan, basuh dengan air hujan,  
renjis-renjis lebih kurang, lepas tu pergi beratur nak tadah nasi!!  
katanya, anak dia lapar, dah dua hari tak makan nasi...!!!
Ada sorang tu, ada mak dia yang dah tua duduk di tingkat 3.... mak dia 
 sakit tak larat nak turun naik tangga.... dia panik punya pasal sebab  
mak dia lapar, dia beratur nak ambik nasi (Tak tahu beratur kali berapa 
 dah), tak ada bekas nak isi.... dia bantai sumbat nasi dalam botol air 
 mineral kosong!! Bayangkan.... jangan tanya pasal lauk lah, dia memang 
 tak fikir lauk dah, dia kira nak ambik nasi je... asal dapat nasi pun  
cukup lah..... cuma aku terpikir, macam mana dia nak makan...? macam  
mana dia nak keluarkan nasi dari dalam botol.... (dia bukan potong mulut
  botol supaya muka jadi luas macam cawan)... dia sumbat nasi ikut  
muncung botol gitu lah hidup-hidup.
 Dan
  yang paling sedih sekali, ada yang ambik polistrin dalam tong sampah  
bekas orang makan dah, basuh dengan air hujan, dan gi ambik nasi....!  
Pernah terfikirkah anda ada berlakunya kejadian demikian di musim pesta 
 main air dan pesta menderma bantuan dan sumbangan seperti itu...?
Dan
  yang paling sedih sekali, ada yang ambik polistrin dalam tong sampah  
bekas orang makan dah, basuh dengan air hujan, dan gi ambik nasi....!  
Pernah terfikirkah anda ada berlakunya kejadian demikian di musim pesta 
 main air dan pesta menderma bantuan dan sumbangan seperti itu...?
Ada yang baru lepas bersalin sebelas hari, terpaksa duduk di bawah  
tangga bangunan sekolah... sebab tak cukup tempat.... bilik darjah semua
  dah penuh.... bahkan ramai yang tidur atas koridor...!
Menu memang mudah.... pagi makan meehoon (panaskan kuali, kemudian  
dibukanya ayam yeos dalam tin dalam tujuh lapan tin, dimasukkan semuanya
  dalam kuali, last sekali dimasukkan meehon yang telah direndam 
sekejap,  dan digaul... meehoon goreng)... meehon keras macam dawai. 
Siap untuk  500 orang.... yang berpindah ke situ dekat 3 ribu.
Tengahari, nasi putih lauk sardin... (buka tin, masukkan semua isinya  
dalam dalam kuali, nampak berbobok macam nak gelegak sikit, siap...!  
menu tengahari. Malam pun menu yang sama. Esok pun sama. Lusa pun sama. 
 Dalam keadaan elektrik tak ada, air paip tak ada, line handphone pun 
tak  ada.
Bayangkan....!
Jiran belakang rumah aku.... orang tua umur dah 80 lebih, sekelamin....
  dua-dua dah 80 lebih. Isteri pun dah uzur tak berapa boleh berjalan.  
Masa di pusat pemindahan, kakak aku call dia, nak tanya khabar  
berita.... orang tua ni ada dua anak yang duduk sekitar Kuantan.... masa
  air baru cecah lantai rumah, dia call anak yg pertama, rupanya nak  
sulong dia dah ada di pusat pemindahan. Dan pusat itu pula terkepung  
tidak boleh kemana-mana. Bahkan kalau dapat keluar dari sekolah itupun, 
 tak mungkin dia dapat sampai ke rumah orang tuanya.... air cukup dalam 
 di tengah jalan. Masing-masing terkepung. Dia call anak kedua yang 
duduk  di tempat lain.... Pun sama jugak... anak yang ni pun dah ada di 
pusat  pindah banjir dan terkepung juga.
Bayangkan masa tu semua penduduk taman tu dah pindah.... tinggal dia  
sekelamin dalam rumah... dia nak keluar dengan kereta pun dah tak  
lepas.... kat jalan keluar dalam taman perumahan itu air dah separas  
pinggang.... air naik sedikit demi sedikit.... masa maghrib, air dalam  
rumah dah tenggelam buku lali.... masa ni boleh kata semua penduduk dah 
 pindah, kecuali orang tua ni sekelamin je... lepas Isyak, air dah naik 
 satu kaki..... (lorong ini paling lambat air naik.... di lorong lain,  
masa tu, air dalam rumah dah paras dada)..... Akhirnya, lepas pukul 12  
malam dah, ada trak askar mari ambil dan hantar ke sekolah  
berdekatan.... (mungkin menantunya yang bersusah-payah lapurkan kpd  
pihak berkuasa).
Bila banjir dah surut, sebahagian besar mangsa dan balik ke rumah  
masing-masing, jalan ke pusat perpindahan dah clear, tak ada air walau  
setitik pun tengah jalan..... bila suratkhabar dan tv dan war-warkan,  
bila dapat tahu wartawan dan pemberita tv ramai ke tempat banjir, maka  
berbondong-bondonglah kenderaan berebut-rebut membawa bekalan  
macam-macam ke tempat pusat perpindahan banjir.... dengan lori pick-up  
nya, dengan van nya, trak, bas, semua ada.... ada yg bawa beras, roti,  
pakaian, selimut, toto, maggi, panadol... macam-macam, semua ada.....  
ada yang konvo dari KL sampai 20 buah kenderaan 4x4... pada kenderaan  
siap tulis banner besar-besar, dari pemuda parti melayu lah, dari  
jabatan itu lah, agensi inilah, atas nama misi bantuan banjir....! 
Wartawan pun berkejar-kejar pergi ke tempat yang terlibat dengan  
kunjungan rombongan yang hantar bantuan itu.... ditemuramah ketua  
misi.... cakaplah begitu begini untuk nak bagitahu mereka turut simpati 
 dengan mangsa banjir.
Banyak sangat kalau nak cerita.... tapi cukuplah setakat ini.
Sumber: Link
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
 
 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan