Jumaat, 23 September 2011

PERANAN NEGARA DALAM MENJAGA AQIDAH UMAT


Gejala sosial yang berlaku seringkali mendapat liputan meluas media.  Setiap kali timbul isu masalah sosial, pelbagai pihak akan tampil untuk mencadangkan langkah penyelesaian terhadap gejala ini.  Lazimnya, pihak sekolah, ibu bapa, pertubuhan sosial dan pusat kebajikan merupakan golongan masyarakat yang akan tampil untuk mencari penyelesaian.  Namun, tidak kelihatan peranan negara.  Di mana peranan negara sebagai pihak yang paling berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini?  Sayang sekali, peranan negara dalam menangani permasalahan ini seringkali dipandang sepi.  Jika ada sekalipun, “mereka” hanya sekadar sebagai pengulas isu-isu yang terjadi seterusnya mencadangkan perlaksanaan hukuman terhadap pesalah terbabit. Malangnya, semua cadangan yang dilontarkan hanyalah penyelesaian jangka pendek.  Masalah gejala sosial terus menular.  Adakah benar sekadar itu kemampuan negara menyelesaikan masalah gejala sosial ini atau sebenarnya negara tidak berminat untuk bersungguh-sungguh menyelesaikannya?  Apakah sebenarnya peranan dan fungsi negara dalam menangani gejala sosial ini?  Cukupkah sekadar menjatuhkan hukuman kepada si pesalah?
 
Media dan Keadaan Sekeliling Bebas Mempromosikan Seks
Sebelum penjelasan difokuskan kepada peranan negara, kita perhatikan terlebih dahulu analisis berkaitan faktor-faktor pemangkin gejala sosial pada hari ini.  Sebenarnya,terlalu banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya gejala sosial sehingga memberikan pengaruh yang buruk kepada rakyat, khususnya remaja.  Contoh yang paling mudah untuk memperlihatkan kepincangan ini ialah iklan yang dipaparkan di media cetak dan elektronik.  Iklan yang dipaparkan acapkali menyelitkan unsur-unsur seks sebagai pelaris produk yang dipasarkan. Keadaan ini memberi gambaran seolah-olah unsur seks itu suatu yang begitu sinonim dengan iklan dan sebagai pelaris.  Hal ini dapat dilihat hampir dalam semua iklan, daripada barangan kegunaan harian seperti syampu, minyak wangi dan sebagainya, hinggalah ke busana dan fesyen, hatta termasuk juga iklan kereta dan barangan mewah lainnya.  Kebanyakan produk menggunakan wanita seksi sebagai bahan tarikan sesuatu produk.

Program-program televisyen yang dipertontonkan juga tidak ketinggalan menjadikan seks sebagai tarikan.  Jika si hero dalam sesebuah rancangan digambarkan dengan imej ganas, si heroin pula disinonimkan dengan imej seksi dan menggoda.  Imej seksi yang menampakkan bentuk atau lekuk-lekuk tubuh wanita sepatutnya dijauhi daripada ditonton.  Ibrahim M.Hefzallah dalam bukunya, Critical Viewing of Television, menyatakan televisyen banyak memaparkan hubungan seks yang berulangkali dan keterlaluan.  [Petikan Buku Kesan TV Terhadap Perkembangan Anak Anda,terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang].
Drama atau filem yang mengetengahkan unsur-unsur cinta antara lelaki dan perempuan pula akan berakhir di ranjang untuk menunjukkan kononnya itulah tanda cinta sejati.  Kesan buruknya ialah remaja akan menganggapnya sebagai lumrah dalam kehidupan seharian.  Secara tidak langsung pembinaan syakhsiyyah para remaja telah diambil alih oleh media kerana apa-apa yang dipaparkan begitu mudah mempengaruhi mereka.Lebih teruk lagi, program kanak-kanak yang ditayangkan turut ditokok tambah dengan eleman seks seperti kartun Sin Chan, Chibi Maruko Chan dan lain-lain.

Manusia, secara fitrahnya diciptakan oleh Allah Subhanahu wa Taala dengan gharizah an-nau’ (naluri melestarikan keturunan/naluri seks) yang pastinya akan terkesan apabila melihat realiti yang berada di sekeliling mereka hari ini.  Ini kerana, munculnya naluri ini adalah disebabkan oleh rangsangan yang muncul di sekitar mereka.  Gharizah an-nau’dirangsang apabila penonton didedahkan dengan tayangan-tayangan yang berunsur seks di media elektronik dan media cetak seterusnya terperangkap dalam gejolak nafsu sehingga mampu membawa mereka membayangkan kenikmatan melakukan hubungan dengan lawan jantina.

Keadaan ini menjadi lebih parah lagi dengan suasana persekitaran yang dipenuhi dengan unsur-unsur seks sama ada di papan-papan iklan, wanita dan lelaki yang mendedahkan aurat di sana-sini, majalah hiburan, cakera padat lucah yang mudah dibeli, premis urutdan pusat hiburan yang terbuka untuk dikunjungi.  Keadaan ini sangat mungkin untuk merangsang syahwat seseorang.  Jika tidak ditangani dengan cara yang dianjurkan syarak, maka tidak hairan jika zina, sumbang mahram dan seks bebas yang berakhir dengan pembuangan bayi-bayi akan terus berleluasa.

Tidak cukup dengan itu, kurikulum Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) pula diperkenalkan dalam sistem pendidikan.  Visinya adalah untuk menyelesaikan masalah gejala sosial.  Persoalannya, mampukah kurikulum baru ini menghalang gejala sosial dalam kalangan remaja?  Secara faktanya, PKRS tidak banyak beza dengan pendidikan seks yang telah lama bertapak di barat.  PKRS dilaksanakan bertujuan agar para remaja memperolehi maklumat lengkap tentang seksualiti, kesihatan reproduksi dan cara mengatasi masalah kesihatan reproduksi.  Para remaja kononnya berhak memperolehi penerangan yang tepat dan benar tentang kesihatan reproduksi sehingga dapat berperilaku secara sihat dan menjalani kehidupan seksual yang bertanggungjawab.  Namun, cuba bayangkan keadaan para remaja yang terus-menerus disodorkan dengan maklumat tentang seks, dan dalam masa yang sama juga mereka diperkenalkan dengan kondom dan pil perancang keluarga.  Tidakkah keadaan ini merangsang gharizah an-nau’ mereka untuk mencuba sesuatu yang baru dan belum pernah dilakukan?  Secara logiknya, bukankah keadaan ini bakal menyemarakkan lagi seks bebas serta mengundang seribu satu permasalahan lainnya yang tidak akan pernah berakhir?

Halangan Menikah
Tidak dinafikan terdapat sebilangan remaja yang masih bersekolah atau sedang melanjutkan pelajaran merasakan mereka tidak mampu menahan gejolak nafsu serta rangsangan syahwat akibat suasana persekitaran yang begitu hebat mengasak naluri mereka.  Lalu, demi menjauhi perbuatan zina dan maksiat, mereka meminta izin daripada keluarga untuk menikah.  Malangnya, keinginan mereka ini mendapat tentangan dan tidak direstui keluarga dengan alasan masih belajar dan tiada jaminan masa depan jika berkahwin di usia muda.  Sudahlah dihalang keluarga, prosedur mahkamah syariah pula menyulitkan pasangan muda ini.

Misalnya, mengikut Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (NegeriSelangor) 2003 (EUUKIS) memperuntukkan: “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

Menurut peruntukan di atas, perkahwinan seorang perempuan yang didefinisikan sebagai bawah umur (walaupun telah mencapai umur baligh menurut hukum syara’) hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis dari mahkamah syariah.  Jika bapa atau datuk menikahkan anak atau cucu perempuan yang di bawah umur minimum untuk berkahwin tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Mahkamah Syariah, maka ia adalah satu tindakan yang menyalahi peruntukan Seksyen 40 EUUKIS.  Jika sabit kesalahan, individu terbabit didapati telah melakukan suatu kesalahan dan akan dihukum denda tidak melebihi RM1,000.

Padahal, Islam telah menetapkan hukum berkenaan masalah ini.  Hukum mengahwini atau mengahwinkan seorang perempuan yang belum baligh (belum haid) sekalipun adalah mubah (boleh/harus) dan sah sekiranya memenuhi rukun dan syarat perkahwinan.  Dalil tentang keharusan perkahwinan seperti ini adalah dari al-Qur’an dan as-Sunnah.  Dalil daripada al-Quran ialah firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud,

“Dan perempuan-perempuan yang sudah tidak haid lagi (menopause) di antara perempuan-perempuanmu, jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya) maka iddah mereka adalah tiga bulan dan begitu (juga) perempuan-perempuan yang belum haid.  Dan bagi perempuan-perempuan yang hamil, iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya.  Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya”.  [TMQ at-Thalaq (65):04].
Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya ada menyatakan bahawa maksud “lam yahidhna” (perempuan-perempuan yang tidak haid) adalah “as-shighar al-la’iy lam yablughna sinnaal-haidh” (anak-anak perempuan kecil yang belum mencapai usia haid).  Tambahan pula, Imam Suyuthi dalam kitabnya Al-Iklil fi Istinbath At-Tanzil hal. 212 menyebut Ibnul Arabi, yang mengatakan, “Diambil pengertian dari ayat itu, bahawa seorang [wali] boleh menikahkan anak-anak perempuannya yang masih kecil, sebab iddah adalah cabang daripada nikah”.  Jadi, secara tidak langsung, ayat dari Surah at-Thalaq di atas menunjukkan kebolehan menikahkan anak perempuan yang belum haid.

Manakala dalil as-Sunnah adalah hadis dari Aisyah Radhiallahu‘Anha yang bermaksud, “Bahawa Nabi Sallallahu  Alaihi wa Sallam telah menikahi Aisyah sedang Aisyah berumur 6 tahun, dan berumah tangga dengannya pada saat Aisyah berumur 9 tahun, dan Aisyah tinggal bersama Nabi Sallallahu alaihi wa sallam selama 9 tahun” [HR Bukhari].  Dalam riwayat lain disebutkan, “Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam menikahi Aisyah Radhiallahu ‘Anha ketikaAisyah berumur 7 tahun dan Nabi berumah tangga dengan Aisyah ketika Aisyah umurnya 9 tahun [HR Muslim].

Daripada dalil-dalil di atas, dapat difahami bahawa menghalang perkahwinan pasangan muda adalah tindakan yang menyalahi syarak kerana syarak jelas membolehkan perkahwinan perempuan yang belum baligh apatah lagi yang sudah baligh.  Alasan perkahwinan muda tidak menjamin masa depan adalah sangat tidak wajar.  Justeru, mentaliti ibu bapa zaman sekarang dan prosedur rumit yang diperuntukkan oleh mahkamah syariah ini secara tidak langsung mendorong sebilangan remaja nekad lari dari rumah atau kahwin lari kerana mahu memenuhi niat mereka itu.  Akibat yang lebih buruk lagi, ramai dalam kalangan mereka memilih untuk berzina.  Bukankah ini tiada bezanya dengan membiarkan mereka melakukan seks bebas dan seterusnya mendorong pembuangan bayi jika hamil hasil hubungan itu?

Peranan Negara Menjaga Keimanan Rakyat
Negara, dalam pandangan Islam, memiliki peranan yang sangat penting dalam mewujudkan generasi yang mempunyai syakhsiyah mulia.  Negara berkewajipan untuk melindungi setiap rakyatnya daripada segala bentuk kerosakan dengan menerapkan seluruh peraturan yang sesuai dengan fitrah manusia.  Peraturan yang diterapkan pastinya merangkumi segala aspek kehidupan manusia.  Peranan negara yang berlandaskan Islam telah terbukti mensejahterakan hidup manusia selama berabad-abad semasa zaman kegemilangan Islam sepanjang 1400 tahun yang lalu.

Berkenaan kewajipan menjaga keimanan rakyat umumnya dan menangani gejala sosial khususnya, negara seharusnya proaktif melakukan pencegahan dari awal lagi.  Negara wajib melaksanakan sistem pendidikan yang berasaskan aqidah Islam dan tidak memberi ruang kepada konsep-konsep yang rosak seperti kebebasan bertingkah laku. 

Sistem pendidikan Islam bertujuan mendidik dan mencetak peribadi-peribadi yang bersyaksiyah Islam agar tumbuh menjadi insan yang beriman dan bertakwa.  Selain mendidik, negara juga bertanggungjawab untuk menghapuskan realiti dan pemikiran-pemikiran yang membawa kepada timbulnya gejolak asmara dan rangsangan nafsu rakyatnya seperti menguatkuasakan larangan mendedahkan aurat; melarang pembinaan premis hiburan; rumah urut dan mengawal selia segala bahan-bahan media sama ada tayangan drama, filem, iklan, maklumat daripada surat khabar, majalah, internet, VCD dan seumpamanya.  Unsur-unsur yang memicu kepada seks bebas ini dilarang keras daripada berada di tengah-tengah umat supaya tidak memberikan kesan negatif kepada mereka.

Negara Khilafah yang menjadikan aqidah Islam sebagai asas dalam pemerintahannya ternyata berupaya mengatasi pelbagai masalah dalam kalangan umatnya.  Sejarah kejayaan negara khilafah sebelum ini bukan hanya dengan mewar-warkan konsep dan slogan tertentu semata-mata, malah sejarah panjang kegemilangan kaum Muslim tersebut membuktikan bahawa penyelesaian tersebut benar-benar dapat direalisasikan.

Jika kini, prosedur nikah di bawah usia dipersulitkan oleh Mahkamah Syariah, berbeza dengan zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.  Beliau pernah mengarahkan pegawainya yang bertugas membahagikan sedekah serta menawarkan bantuan kepada sesiapa yang ingin berkahwin tetapi tidak mampu.  Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam juga menggalakkan sesiapa yang mampu berkahwin untuk berkahwin seperti sabda baginda:  “Wahai pemuda, sesiapa sahaja daripada kamu yang mampu berkahwin, hendaklah berkahwin.  Sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan.  Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa, kerana ia boleh menjadi perisai”  [HR Ibnu Mas’ud].  Ini bermaksud gejala seks bebas atau hamil sebelum nikah dapat ditangani dengan cara yang dihalalkan Islam iaitu melalui jalur pernikahan atau berpuasa sunat bagi mengekang nafsu.

Selain daripada usaha mendidik dan mencegah, negara jugalah yang berperanan sebagai pelaksana hukum Allah dan RasulNya.  Dengan kata lain, Negara berperanan menjatuhkan hukuman bagi pesalah yang melakukan kesalahan tanpa memilih bulu.  Allah Subhanahu wa Taala berfirman “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu.” [TMQ Al Maidah (5): 49]
Hadits riwayat Abu Hurairah r.a. ia berkata: Dari Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, beliau bersabda: “Sesungguhnya seorang pemimpin itu merupakan perisai, rakyat akan berperang di belakang serta berlindung dengannya.  Bila ia memerintah untuk takwa kepada Allah azza wa jalla serta bertindak adil, maka ia akan memperoleh pahala.  Namun bila ia memerintah dengan selainnya, maka ia akan mendapatkan akibatnya”. [HR Muslim]

Jadi, zina dan faktor-faktor yang mengarah kepada terjadinya zina sama sekali tidakakan diberi peluang untuk tumbuh subur dengan penerapan hukuman yang sangat berat bagi pelakunya.  Bagi kes zina contohnya, penzina yang belum pernah bernikah akan dihukum dengan seratus kali sebat, sementara bagi yang pernah bernikah akan dihukum rejam sehingga mati.  Ini berdasarkan perintah Allah dalam firmanNya:

"Perempuan dan lelaki yang berzina, deralah masing-masing dari keduanya dengan seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari Akhir dan hendaklah (perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian dari orang-orang yang beriman.”  [TMQ an-Nur (24):2]. 

Bagi kes perlakuan aksi lucah dan pornografi, sesiapa yang melakukan tarian atau gerakan erotik (merangsang) dan dapat membangkitkan syahwat di tempat-tempat umum, melakukan perbuatan-perbuatan yang melanggar adab serta melakukan perbuatan cabul dan seumpamanya akan dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan lamanya dan jika dia mengulangi perbuatannya, maka hukumannya akan ditambah menjadi hukuman penjara selama dua tahun dan disebat. [Abdul Rahmah alMaliki, Nizham al Uqubat].  Tegasnya ancaman hukuman Islam seperti inilah yang akan menjadi pencegah bagi merebaknya zina, aksi lucah mahupun seks bebas dalam masyarakat, sekaligus menjadi penebus dosa bagi pelakunya.

Jaminan perlaksanaan hukuman yang tegas dan tidak memilih bulu akan dikenakan ke atas setiap individu yang melakukan perlanggaran hukum.  Dalam pandangan Islam, hukuman yang berpandukan wahyu Allah ini dapat berfungsi sebagai pencegah (zawajir) dan sekaligus penebus (jawabir).  Dikatakan sebagai pencegah kerana tegas dan beratnya ancaman hukuman akan membuatkan seseorang berfikir panjang sebelum melakukan kesalahan.  Sebagai penebus, kerana seseorang yang bersalah dan kemudian dihukumi dengan hukum Islam sesuai dengan jenis kesalahannya, maka hukumannya ituakan menjadi penebus dosa bagi dirinya di akhirat kelak.

Tidak hairanlah dalam sejarah Islam tercatat kisah perzinaan yang dilakukan oleh Al-Ghamidiah dan Ma’iz al-Aslami yang secara sukarela minta dijatuhi hukuman rejam ke atas mereka sendiri oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sebagaiqadhi (hakim) dan pemimpin negara pada masa itu.  Inilah bukti bahawa negara yang menerapkan hukum Islam dalam seluruh aspek kehidupan dapat melahirkan individu-individu yang rela hati mengakui kesalahan dan segera insaf dan bertaubat dengan perlanggaran yang dilakukan.  Masih wujudkah generasi sebegini dalam kehidupan kita kini?

Ternyata, masalah sosial yang dihadapi saat ini adalah akibat daripada penerapan sistem sekular yang tidak menjadikan agama sebagai sumber hukum.  Hasil daripada sistem sekular itu, maka lahirlah sistem pemerintahan demokrasi.  Negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi mengabaikan aqidah Islam sebagai asas pemerintahan dan pemeliharaan urusan rakyatnya.  Negara demokrasi juga mengiktiraf liberalisme (kebebasan) yang memberi ruang kepada seseorang untuk bertingkah laku sesuka hatinya.

Khatimah
Wahai muslimah sekalian!

Sesungguhnya negara Islam sebenar adalah negara yang hanya menjadikan aqidah Islam sebagai tunjang dalam pemerintahannya.  Pemerintahan yang disandarkan kepada aqidah Islam ini jugalah yang dipraktikkan oleh pemimpin-pemimpin yang bertakwa sepanjang memerintah selama berabad lamanya.  Ketahuilah bahawasanya negara memiliki peranan yang sangat penting dalam menjaga masyarakat melalui penerapan seluruh hukum Islam.  Negara menjadi tiang penting bagi tertegaknya sistem Islam.  Hanya saja negara bukanlah satu-satunya penentu yang menjamin keberlangsungan tegaknya seluruh sistem dan syariat Islam namun harus disokong dengan wujudnya ketakwaan pada individu-individu umat ditambah dengan adanya kawalan yang kuat daripada masyarakat untuk sama-sama melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Adanya hubungan ta’awuniyyah (tolong menolong) sesama individu, masyarakat dan negara sebegini dapat menjamin pelaksanaan syariat Islam yang berhasil menyelesaikan bukan sahaja gejala sosial malah pelbagai bentuk permasalahan lainnya sebagaimana yang difirmankanNya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikandan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran.”   [TMQ al-Maidah (5):2].
Wallahu a’lam

Sumber: :  http://www.mykhilafah.com